UCAPAN Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkaitan pemuliharaan Tapak Ramsar sempena Majlis Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia di Pejabat Pengurusan Tapak Ramsar Tasik Bera, Pahang pada 19 Februari lalu mesti disokong semua pihak demi kelestarian Tapak Ramsar di Malaysia.
Tapak Ramsar (juga dikenali sebagai Konvensyen mengenai Tanah Lembap) merujuk kepada tapak atau kawasan tanah lembap yang ditetapkan mempunyai kepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar, suatu perjanjian alam sekitar antara kerajaan atau pemerintah yang ditubuhkan di Ramsar, Iran pada 2 Februari 1971.
Penetapan ini menyediakan tindakan kebangsaan dan kerjasama antarabangsa mengenai pemuliharaan tanah lembap, dan penggunaan sumber itu secara lestari dan bijak. Ramsar mengenal pasti kepentingan antarabangsa, terutamanya yang menyediakan habitat bagi burung Anseriformes.
Setakat tahun 2022, terdapat 2,471 Tapak Ramsar di seluruh dunia dengan 171 kerajaan atau pemerintah menyertainya.
Di Malaysia terdapat tujuh Tapak Ramsar. Selain Tasik Bera, Tapak Ramsar lain di Semenanjung Tanah Melayu ialah Kukup, Tanjung Piai dan Sungai Pulai yang diisytiharkan pada 31 Januari 2003. Tapak Ramsar di Sarawak diisytiharkan pada 8 November 2005 sebagai Tapak Ramsar kelima di Malaysia, manakala Tapak Ramsar keenam dan ketujuh masing-masing diisytiharkan pada 2008 dan 2013 di Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands, Sabah.
Tasik Bera merupakan Tapak Ramsar pertama di Malaysia yang diwartakan pada 10 Mac 1995. Tapak Ramsar Tasik Bera adalah merupakan tasik semula jadi yang terbesar di Malaysia dan telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) juga dikenali sebagai Kawasan Pemuliharaan Tasik Bera. Di bawah Konvensyen Ramsar, pengisytiharaan ini adalah satu penghormatan kepada penduduk tempatan, Kerajaan Negeri Pahang dan Malaysia amnya.
Pelancaran buku, Fishes of Tasek Bera Pahang merupakan satu lonjakan baharu dalam kajian kepelbagaian biologi Tasik Bera khususnya kepelbagaian ikan. Hasil penulisan pasukan pakar dari universiti-universiti dan aktivis alam semula jadi tempatan boleh dibanggakan dan menarik ramai peminat ikan air tawar. Dalam masa sama ia pemangkin untuk bersama menjaga kelestarian habitat itu supaya tidak pupus di Tasik Bera.
Usaha kolektif antara jabatan kerajaan dengan universiti tempatan, aktivis alam semula jadi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sangat penting. Contoh yang ditunjukkan oleh penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaya (UM), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Sains Malaysia (USM) dan agensi lain merupakan satu contoh yang baik sekali gus mengaktifkan lagi penyelidikan tentang tanah lembap.
Semua pihak bukan sahaja para ahli sains dan aktivis alam semula jadi tetapi juga pihak korporat dan orang awam mesti bersama wawasan kerajaan dalam memastikan Tasik Bera Tapak Ramsar pertama di Malaysia terus terjaga.
Maklumat kepelbagaian biologi Tasik Bera mesti sentiasa ditambah baik untuk membantu pengurusan terbaik dan menjadikan ia rujukan antarabangsa.
SEMELAI
Nik Nazmi juga menyeru penglibatan penduduk Semelai untuk bersama menjaga Tasik Bera dan memanfaatkannya untuk kesejahteraan kaum itu juga.
Tema sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia tahun ini, Tanah Lembap dan Kesejahteraan Manusia, sangat bertepatan dengan seruan menteri. Semua penduduk tempatan mesti memahami tentang kelestarian Tapak Ramsar dan amalan tradisi kaum Semelai mesti diadaptasikan dengan keadaan semasa dan gaya hidup.
Semelai adalah salah satu suku kaum orang asli dari suku bangsa Melayu Asli (Proto Malay) yang terdapat di Pahang Tengah seperti di Tasik Bera, Sungai Bera, Sungai Triang, Paya Besar dan Paya Badak serta di sempadan Pahang menghala Negeri Sembilan. Kaum Semelai yang tingal di Tasik Bera sejak lebih 600 tahun dahulu, sebahagiannya masih bergantung kepada Tasik Bera untuk kehidupan.
Bagi melibatkan Orang Asli dalam ekosistem tanah lembap negara termasuk dalam menjaga kawasan Tasik Bera, kerajaan mengadakan Markas Taktikal bagi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang melibatkan rondaan dan pemantauan. Perlantikan Renjer Komuniti yang terdiri daripada Orang Asli Semelai mengiktiraf peranan komuniti itu.
Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) juga mesti melibatkan mereka termasuk lain-lain latihan kemahiran berkaitan alam semula jadi. Nik Nazmi juga mengharapkan kerjasama erat antara komuniti Orang Asli Semelai dan juga pihak pengurusan Tapak Ramsar dapat diperkukuhkan.
Aktiviti CEPA mesti lebih aktif dan melibatkan masyarakat yang lebih luas. Program pendidikan yang sistematik perlu diadakan oleh kumpulan terlatih untuk penduduk tempatan Semelai, pelajar sekolah di sekitar tapak Ramsar. Pihak korporat terutama yang beraktiviti sekitar tapak Ramsar mesti menunjukkan komitmen dan sokongan penuh selain daripada kumpulan korporat lain.
Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) telah mengetengahkan isu kepelbagaian biologi Tasik Bera dan penglibatan masyarakat Semelai dalam kelestarian Tasik Bera. Dalam kajian, penglibatan PEM dengan pengkaji dan masyarakat Semelai mendapati banyak perkara lagi yang perlu dilakukan termasuk faktor sosio-ekonomi penduduk tempatan.
Satu Stesen Penyelidikan Semelai-Tapak Ramsar Bera mungkin perlu diadakan di kawasan penempatan kaum Semelai dan melibatkan sepenuhnya masyarakat Semelai dengan kerjasama institusi pendidikan dan penyelidikan serta NGO.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).










