KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud diterbangkan ke Kuching, Sarawak dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang untuk dikebumikan.
Terdahulu jenazah dibawa dari Masjid Negara menuju ke TUDM Subang sebelum diterbangkan ke Kuching pada pukul 1 tengah hari.
Allahyarham dijadual dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri di perkuburan keluarganya di Demak Jaya.
Turut hadir memberi penghormatan ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Abdul Taib dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 4.40 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Sebelum itu, jenazah Abdul Taib tiba di Masjid Negara pada pukul 9.11 pagi dengan diiringi petugas Polis Diraja Malaysia dan kenderaan Timbalan Perdana Menteri. – UTUSAN










