Teks asal pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu oleh Tunku

Teks asal pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman

ANWAR Ibrahim membacakan Deklarasi Kemerdekaan bagi memperingati pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Malam 20 Februari 2024 melakar sejarah tersendiri apabila sejarah pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari 1956, julung kali diraikan kembali di Banda Hilir di sini.

Setiap detik penuh makna ketika Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pulang dari London membawa khabar gembira kemerdekaan ibu pertiwi dilakonkan kembali termasuk menggunakan kereta antik jenis Nash Rambler Custom convertible buatan 1951 yang pernah dinaiki Perdana Menteri pertama itu.

Laungan merdeka sebanyak tiga kali bergema sejurus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membacakan Deklarasi Kemerdekaan bagi memperingati pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Berikut merupakan teks asal Amanat Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman yang dibacakan semula Anwar, semalam:

TUNKU Abdul Rahman Putra Al-Haj (kanan) telah mengambil cuti khas untuk berkempen pilihan raya umum 1959 dan menyerahkan tugas sebagai Perdana Menteri kepada timbalannya, Abdul Razak Hussein (kiri). – ARKIB UTUSAN

Assalamualaikum Wabarakatuh:Tuan Pengerusi, Tuan2 sekalian, saudara2 dan saudari2.

Saya berasa sangat-lah besar hati yang tuan2 telah pun datang dari berapa jauh kerana hendak menyambut kembali ka-tanah ayer kita ini. Rombongan Merdeka yang telah baharu balek dari London. Maka kejayaan kami sakalian ia-lah pertama-nya dengan do’a saudara2 kita sakalian Allah Subahanahu Wata’ala telah di-izinkan maka dengan di-izinkan Allah dapat-lah kita ini bagi pertama kali dalam sejarah Tanah Melayu ini telah pun menurunkan tanda tangan menetapkan tarikh yang Malaya akan di-ishtiarkan hari kemerdekaan.

Saya suka hendak sebutkan di-sini kerana di-Melaka-lah mula-nya tempat yang hantarkan saya ka-England mula pertama untok berunding di-atas perkara Pilehan Raya. Jika di-adakan perhimpunan di-Melaka pada waktu itu di-ohurahkan wang ringgit apa segala2-nya yang ada di-dalam badan saudara2 kita untok memungutkan derma membayarkan belanja saya pergi ka-London pada waktu itu maka Itu-lah waktu yang sangat susah kerana waktu itu kita pergi ke-London menuntut supaya di-adakan Pilehan Raya menurut sharat Democracy ia-itu ahli di-pilih oleh rakyat mahu-lah melebihi daripada yang dilantik oleh Pesuroh Jaya Tinggi.

Maka apabila kembali kita di-sini kita tidak di-sana England tak dapat jaya masa itu dan saya pada masa itu bukan-lah menaroh kechil hati atau kechut hati bahkan kembang hati saya dan menaroh satu niat yang bahawa apa akan jadi kami akan langkah ka-hadapan sampai merdeka akan terchapai.

Apabila saya balek waktu itu tidak berjaya maka kita telah menarek diri daripada bekerjasama dengan Kerajaan maka ketika itu tuan2 ingat kita telah berjaya. Kita telah dapat sunggoh pun ta’ penoh dengan sharat-nya tetapi telah dapat sharat dekat2 bagaimana kita tuntut itu tiga par lima.

Akhir-nya masa di-adakan Pilehan-Raya di-dalam National Federal Legislative Council itu dengan pertolongan saudara2 kita khas-nya orang2 Melayu daripada kaum bapa, kaum ibu, tua dan muda sampai kanak2 membantukan kita dapat kemenangan dalam Pilihan Raya dengan tidak ada banding lagi di-dalam mana dunia pun. Di-dalam perjalanan saya baharu2 ini ka-London saya telah bertemu dengan Governer-General Ceylon Sir Oliver Goonetilleke dan di-katakan kapada waktu itu ini-lah mula pertama-nya di-kata satu Ketua Mentri mulai jijak dalam bilek ini dengan pengikut yang bagitu banyak dengan kemenangan kerusi dengan bagitu banyak. Dia berasa sombong menyambutkan kedatangan saya dan Rombongan Merdeka ka-London itu.

Dan juga di-sebut di-dalam salasilah Dunia ini dalam per-juangan ra’ayat dalam Dunia belom lagi pernah mana2 National Party dapat sokongan yang penoh bagaimana kita dapat daripada Raja2.

Kesusahan lain2 negeri daripada perjuangan itu boleh ber-bangkit huru-hara kucha-kachih ia-lah dengan kerana berputus2 perhubungan di-antara Raja2 negeri itu dengan ra’ayat. gan Sa-balek-nya Malaya telah pun mendirikan satu sejarah yang belom biasa lagi di-saksikan di-mana Dunia dahulu itu ia-itu Raja2 dengan ra’ayat berpadu satu.

Dan juga tuan2 di-dalam perjuangan kita ini pun belom biasa di-lakukan juga di-mana2 tempat yang orang2 daripada bangsa Melayu, China, India lain2 semua bersatu padu berjerit dengan satu suara “MERDEKA” dan mengada fahaman yang baik macham kita ini. Jadi ini semua kita shukor kapada Allah Subahanahu Wata’ala yang dengan kuasa-nya telah hati dengan taraf dan kedudokan yang ada maka sentiasa-lah mereka merasa bimbang atas sa-barang perkara yang harus membawa perubahan.

Mereka akan merasa churiga terhadap sa-barang langkah atau sa-orang membawa fikiran2 dan pendapat2 baharu. Tetapi kerana sejarah manusia ada-lah sejaran perubahan2 dan kemajuan untok menchiptakan suatu yang lebeh baik dan sempurna bangsa yang merasa kepuasan tadi akan tinggal sa-makin jauh ka-belakang dan akhir-nya hilang lenyap dan hanya akan di-timbulkan kembali oleh ahli2 sejarah yang akan datang.

Kita ada-lah amat beruntong kerana bangsa kita telah di-kurniakan Tuhan yang maha kuasa dengan ketabahan dan keberanian. Kita ada-lah suatu bangsa yang pernah meni’mati kebesaran dan mempunyai pesaka kebangsaan yang gilang-gemilang. Sunggoh pun perjalanan sejarah telah menukarkan nasib kita daripada suatu bangsa yang merdeka dan agong kapada bangsa yang hina dan terjajah namun kita maseh tetap dapat mempertahankan anugerah Tuhan yang berupa kebesaran rasa kemulia-an, ke’adilan dan semangat yang tidak dapat di-patahkan sementara kita terta’alok di-bawah penjajahan lebeh daripada 400 tahun lama-nya. Ketahui-lah bahawa kita ra’ayat Malaya ada-lah bersatu padu di-dalam maksud kita menchapai kemerdekaan sa-chara perlembagaan dan pada hari ini maksud kita itu telah kita chapai. Dari itu dengan nama Allah yang maha murah kan lagi maha mengasehani bahawa atas nama ra’ayat Malaya mengishtiharkan bahawa kemerdekaan penoh PersekutuanTanah Melayu dalam Commonwealth menurut perjanjian yang telah di-chapai di-London, akan di-laksanakan pada 31 haribulan August tahun 1957. Pohon Allah izinkan.”

Ini-lah untok satu tanda perhimpunan kita pada hari ini yang saya akan turun tanda tangan di-atas satu perjanjian ini. Ini-lah sahaja dapat saya chakapkan pada tuan2. Maka akhir-nya saya memberi terima-kaseh banyak2 di-atas tuan2 di-atas kesusahan tuan2 kepayahan tuan2 yang datang ka-sini. Allah ta’ala sahaja-lah balaskan. Dan saya tamatkan uchapan saya dengan 3 kali sorak MERDEKA.

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×