PETALING JAYA: Data peribadi rakyat Malaysia berisiko dibocorkan kepada pihak ketiga melalui perkhidmatan yang memerlukan pendaftaran pengenalan diri bagi melakukan urusan sekali gus terdedah menjadi mangsa penipuan.
Aktiviti eksploitasi data peribadi berlaku menerusi urusan transaksi komersial seperti pembelian barangan, pendaftaran kad perbankan, hartanah, pendaftaran untuk tujuan pemasaran, kesihatan dan lain-lain.
Kebocoran data-data ini menyebabkan masyarakat dihubungi ahli sindiket bagi menawarkan perkhidmatan mereka walhal ia penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kebocoran data peribadi boleh berlaku apabila kelalaian tersebut berlaku dari pihak pengguna sendiri yang cuai menyimpan maklumat diri mereka.
Kata beliau, data peribadi seseorang adalah terdedah kepada semua pihak sehingga syarikat makanan segera.
“Sebagai contoh, jika kita buat sesuatu pembelian atas talian sudah pasti data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat rumah disimpan dalam pangkalan data syarikat yang kita daftar.
“Soalnya, siapakah yang akan menentukan data tersebut tidak dibocorkan? Kemungkinan penjualan dan perolehan data secara mudah bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam hal ini, Ramli berkata, orang ramai juga perlu berhati-hati memberikan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali terutama melalui media sosial.
Tegas beliau, berkongsi atau memuat naik data peribadi secara terbuka membolehkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyalahgunakannya.
Sikap masyarakat yang gemar mengisi borang dengan memasukkan maklumat peribadi turut menjadi punca kebocoran maklumat di tangan orang yang salah.
“Perkara ini harus sentiasa diawasi.Elakkan diri daripada mempercayai individu atau laman web yang menawarkan peraduan atau skim memberi keuntungan dalam tempoh singkat.
“Seandainya perlu membuat salinan dokumen peribadi seperti kad pengenalan, lakarkan dua garisan pada kertas berkenaan dengan menyatakan tujuan salinan dibuat agar data kita tidak terdedah sewenang-wenangnya,” jelasnya.
Pada 16 Februari lalu,jumlah kes penipuan komersial meningkat 34.3 peratus kepada 4,741 kes dengan jumlah kerugian melonjak 207.6 peratus atau RM558.6 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu dilihat dilihat dalam tempoh enam minggu dalam tahun 2024.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) bimbang dengan perkembangan ini kerana masih ramai mudah terpedaya dengan helah pelbagai taktik oleh sindiket penipuan. – UTUSAN









