JERANTUT: Sepasang suami isteri di Felda Kota Gelanggi Dua sini, buntu mengenangkan nasib anak ketiga mereka yang sudah empat tahun koma selepas terlibat kemalangan jalan raya di laluan berdekatan tanah rancangan itu pada 1 Jun 2020.
Sejak kejadian itu, rutin harian Rozita Hamzah, 51, dan suaminya, Yussery Ismail, 54, berubah kerana perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada menjaga anaknya, Muhammad Yusshah Danish, 20.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rozita berkata, anak ketiga daripada lima adik beradik itu cedera parah dalam kepala, patah tulang leher, pergelangan bahu, tangan dan jari.
“Sejak kejadian itu, sudah banyak kali Muhammad Yusshah Danish mendapat rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.
“Anak saya tinggal di wad Hoshas selama 22 hari dan kemudian berulang-alik selama empat tahun untuk rawatan lanjut di situ. Cuma bahagian anggota tertentu sahaja sedikit pulih, tetapi dia masih tetap koma sehingga kini.
“Walaupun anggota lain pulih, tetapi kecederaan teruk di bahagian otak menyebabkan dia tidak boleh bergerak langsung serta terlantar sehingga ini,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, semalam.
Rozita berkata, dia dan suami sudah membawa anaknya berubat di merata tempat seluruh Semenanjung untuk merawat saraf serta urutan berasaskan kaedah perubatan Islam.
“Hanya ada sedikit perubahan, iaitu kadangkala dia respon apabila ada orang memanggil namanya. Sejak membawa anak berubat, saya sudah menghabiskan kira-kira RM50,000 membiayai perjalanan kenderaan berulang-alik, kos rawatan, penginapan dan laion-lain.
“Tidak tahu macam mana lagi cara perubatan untuk menyembuhkan penyakit kerana banyak wang sudah habis dibelanjakan malah saya reda dengan ujian ini,” katanya.
Menurutnya, anaknya masih minum susu khas, iaitu jenis Optimum dan Myotein seberat 800 gram setiap satu yang cuma mencukupi untuk tempoh dua hari sahaja dan terpaksa berbelanja sebanyak 15 tin setiap jenis berkenaan untuk tempoh sebulan dengan harga yang mahal.
“Saya terpaksa berbelanja untuk kebajikan Muhammad Yusshah Danish sejak empat tahun lalu, iaitu hampir RM4,000 sebulan untuk pembelian susu khas, lampin pakai buang, beg air kencing, ubat dan lain-lain.
“Bulan depan, anak saya akan ke hospital untuk menukarkan tiub saluran minuman susu di perut dengan dikenakan bayaran RM800, manakala tiub di bahagian leher sebanyak RM200 dalam tempoh enam bulan sekali,” katanya.
Beliau yang juga pengusaha peralatan pengantin dan mak andam berkata, dia kurang menerima tempahan berikutan ada persaingan dan masanya banyak ditumpukan untuk kebajikan anak ketiganya itu.
“Saya berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberikan bantuan bulanan RM500 kepada anak saya, namun kami sangat mengharapkan ada agensi lain serta individu yang boleh membantu meringankan penderitaan anak saya ini,” katanya.
Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Rozita di talian 0189103179 atau ke akaun Maybank nombor 156141282978. – UTUSAN










