KUALA LUMPUR: Sentimen ‘gelombang hijau’ tidak mampu bertahan di enam kerusi Parlimen yang wakil rakyatnya dari Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, hanya kerusi Parlimen di tiga negeri dijangka dapat dipertahankan PN sementara selebihnya mungkin jatuh ke tangan kerajaan perpaduan.
“Pada pendapat saya, sokongan PN di Kelantan (Parlimen Gua Musang, Jeli) tidak akan bergerak. Kebarangkalian sama juga untuk Perak (Bukit Gantang, Kuala Kangsar), tetapi PN mungkin gagal mempertahankan Parlimen Labuan dan sokongan di Tanjung Karang belum tentu lagi ke arah mana,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas pindaan perlembagaan yang akan dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2 Mac ini susulan enam wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dalam keadaan mereka masih kekal sebagai ahli Bersatu.
Perkara itu mendesak Bersatu untuk meminda perlembagaan parti yang membolehkan kerusi tersebut dikosongkan, sekali gus PRK perlu diadakan di enam kawasan terbabit.
Jelas Cheng Huat lagi, tindakan untuk melaksanakan PRK boleh ditarik kembali jika ahli Parlimen berkenaan kembali menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, sekali gus imej Bersatu dapat dipulihkan. – UTUSAN











