SAUDARA PENGARANG,
SUSULAN kegagalan Datuk Pandelela Rinong meloloskan diri ke Sukan Olimpik Paris dalam acara terjun 10 meter papan anjal tidak semena-mena timbul isu konflik dalaman yang terjadi dalam persatuan tersebut yang dibalas kembali oleh Setiausaha Agung persekutuan, Andy Low bahawa Pandalela sengaja mencari alasan atas kegagalannya.
Sering kali terjadi oleh mana-mana persatuan sukan negara apabila atlet elit tidak mencapai prestasi seperti yang diharapkan, mereka akan terus menghentam atlet tersebut tanpa mengira apa sumbangan mereka pada negara dan saya lihat kes Lee Zii Jia suatu ketika dahulu kini seolah-olah terjadi pada Pandelela.
Jika dilihat hari ini setiap persatuan sukan hanya sibuk mengurus atlet elit tetapi mengabaikan pengurusan bakat akar umbi malah seringkali gagal mencari pelapis yang dinantikan seperti di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kini Persekutuan Renang Malaysia (MAS).
Di mana bakat atlet pelapis terjun atau renang negara selepas 20 tahun? Adakah Malaysia mengharapkan pada atlet elit yang sama? Adakah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) persatuan sukan hanya bergantung pada seorang atlet sahaja?
Adakah selaku orang yang menguruskan persatuan sukan tersebut sudah mencari bakat pelapis dalam dua dekad ini bagi mencabar prestasi Pandalela atau persatuan sukan sebenarnya hanya bergantung pada seseorang atlet yang sudah menempa nama di peringkat antarabangsa?
Setiap persatuan sukan juga harus sedar bahawa mereka tidak boleh bergantung pada atlet yang sama dan perlu mencari atlet pelapis setiap tahun, bukan sekadar mengharapkan pada atlet elit yang sama kerana pada akhirnya atlet tersebut juga akan bersara apabila tiba masanya.
Agak menghairankan apabila persatuan sukan memerli atlet di bawah naungan mereka sedangkan mereka sendiri terbukti gagal dalam mencari bakat pelapis. – UTUSAN
YUSLAINI AZMI
Aktivis










