Ganja bernilai RM62,000 terapung di perairan - Utusan Malaysia

Ganja bernilai RM62,000 terapung di perairan

ISMAIL Hashim (dua dari kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang ditemukan dalam satu bungkusan guni di perairan Sungai Belati, Kuala Perlis, Khamis lalu.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Tindakan licik penyeludup menghanyutkan 20 ketulan mampat dipercayai ganja di dalam satu bungkusan guni di perairan bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila kegiatan itu berjaya dihidu anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Penguatkuasaan Marin Kuala Perlis di perairan Sungai Belati, Kuala Perlis, Khamis lepas.

Bungkusan guni itu ditemukan hanyut sekitar pukul 4.30 pagi pada kedudukan kira-kira satu kilometer dari kawasan persisir sungai berkenaan.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, 20 ketulan mampat ganja yang ditemukan dalam guni berkenaan dianggarkan seberat 20.545 kilogram dengan anggaran nilai berjumlah RM62,000.

“Berdasarkan berat ganja yang diperolehi, rampasan ini berjaya membanteras dadah berkenaan daripada diedarkan buat lebih 102,000 penagih dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Setor JKDM Cawangan Padang Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, modus operandi yang digunakan pihak sindiket terlibat dipercayai dengan menghanyutkan bungkusan guni di perairan bagi menggelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

Katanya, ganja berkenaan dipercayai untuk edaran seluruh Malaysia termasuk sekitar Lembah Klang.

“Kes ini disiasat di bawah Seks yen 39B Akta Dadah Berbahaya dimana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan hukuman tidak kurang 12 sebatan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail berkata, anggota JKDM Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar sebelum ini turut menjalankan memeriksa ke atas sembilan buah motosikal berkuasa tinggi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pembayaran cukai atau permit import sah, pada 16 Januari lalu.

Katanya, wakil syarikat pengangkutan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun turut ditahan bagi menjalani siasatan lanjut.

“Anggaran nilai rampasan semua motosikal tersebut adalah RM416,500 manakala jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM715,130.50.

“Antara model motosikal berkuass tinggi yang dirampas adalah seperti Honda CBR 1000RR, BMW S1000RR, Yamaha R1, Aprilia RSV4 dan M.V. Agusta,” katanya.

Tambahnya, modus operandi yang digunakan pihak terlibat adalah dengan mengikrarkan motosikal tersebut bagi tujuan perlumbaan di litar di mana ia dibawa menggunakan kenderaan mengangkut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 133 (1)(f) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atua penjara bagi tempoh tidak lebih tujuh tahun,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×