Tiada peruntukan khusus dapat hak eksklusif bawa artis luar negara

Tiada peruntukan khusus dapat hak eksklusif bawa artis luar negara

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan ketika ini tidak menyediakan sebarang peruntukan kepada penganjur konsert untuk mendapatkan hak eksklusif bagi membawa artis luar negara membuat persembahan di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, jika Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berhasrat melaksanakan perkara itu, itu terpulang kepada pihak berkenaan dan tertakluk keputusan Jemaah Menteri.

“Jadi saya lihat pada ketika ini, Kementerian Komunikasi tidak menyediakan dana tersebut. Tapi sekiranya Motac berhasrat melakukan itu tertakluk kepada mereka dan jemaah menteri.

“Namun saya ambil maklum (perkara ini) dan akan bincang dengan menteri Motac,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelucuran Kod Etika Wartawan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, konsert artis luar negara adalah anjuran syarikat swasta atau persendirian dan mereka mempunyai hak eksklusif berkenaan.

Sebagai contoh, Fahmi berkata, bagi konsert Muse tahun lalu, penganjur sudah dapatkan kumpulan muzik itu hanya di Malaysia bagi Asia dan mereka hanya membuat persembahan di Kuala Lumpur.

“Itu tanpa dana kerajaan dan diusahakan oleh penganjur itu sendiri sebagai satu tarikan dan promosi dan Kementerian Komunikasi hanya memudahkan proses permohonan untuk sesebuah konsert diadakan.

“Sekiranya proses dapat dipermudah, itu juga akan menjadi satu daya tarikan kepada penganjur-penganjur, kerana kebiasaannya dia bukan artis dengan kerajaan tapi dengan penganjur,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Singapura membelanjakan lebih kurang RM10 juta untuk mendapatkan hak sepenuhnya terhadap Konsert ‘The Eras Tour’ Taylor Swift dan ia bermakna konsert tersebut tidak boleh diadakan dimana-mana negara ASEAN lain.

Perkara itu didedahkan oleh Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dan memaklumkan bahawa populariti penyanyi dari Amerika Syarikat (AS) itu tinggi dalam kalangan peminat di rantau ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN