PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2023 pada kadar 5.5 sehingga 6.3 peratus, lebih baik berbanding 2022.
Pada 2022, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan shariah.
Pensyarah Kanan,Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Hakimi Tajuddin menjangkakan dividen KWSP 2023 untuk simpanan shariah meningkat kepada 5.5 peratus, manakala simpanan konvensional 6.3 peratus.
Beliau berkata, jangkaan itu berasaskan aset KWSP yang terus berkembang, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) dana pencen itu telah mencapai sebanyak RM1.1 trilion, disokong oleh prestasi suku tahunan yang lebih baik.
“Terdapat petunjuk positif dalam pendapatan pelaburan dan juga peningkatan jumlah ahli aktif yang mencatat rekod tertinggi.
“Pendapatan pelaburan bersih untuk sembilan bulan pertama 2023 KWSP berjumlah RM47.86 bilion, dengan RM4.79 bilion keuntungan daripada pasaran sekuriti. Keuntungan ini juga dipengaruhi oleh turun naik pertukaran asing
“Selain itu, peningkatan jumlah ahli aktif yang mencapai rekod tertinggi sebanyak 8.47 juta pada separuh pertama 2023 menunjukkan pemulihan ekonomi yang mantap, seiring dengan peningkatan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas simpanan shariah, beliau berpandangan, jika simpanan shariah terus menawarkan pulangan yang lebih rendah, ia mungkin mempengaruhi minat pencarum yang mengutamakan keuntungan, untuk bertukar kerana simpanan berkenaan.
“Sebaliknya, KWSP dapat menawarkan pulangan yang kompetitif dalam pelaburan yang patuh syariah, ia pasti mendorong lebih ramai ahli untuk memilih simpanan itu.
“Ia selaras dengan tuntutan Maqasid Syariah yang menekankan kepada kemaslahatan dunia dan akhirat,” katanya.
Menurut beliau, KWSP dilaporkan dalam perancangan untuk mengasingkan sepenuhnya aset simpanan shariah daripada aset simpanan konvensional mulai 1 Januari 2024.
Langkah itu katanya, bertujuan memberikan fleksibiliti kepada simpanan shariah dalam pelaburan, dengan harapan dapat mengurangkan jurang kadar dividen antara pelaburan konvensional dan shariah.
“Pemisahan sepenuhnya simpanan syariah dijangka dapat mengoptimumkan pulangan dan merapatkan jurang dividen syariah kepada dividen konvensional,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, beliau percaya, majoriti pencarum terutama yang beragama Islam pasti memberi keutamaan kepada pematuhan prinsip syariah berbanding hanya keuntungan dalam simpanan mereka.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula menjangkakan, dividen KWSP 2023 pada kadar lebih rendah iaitu sekitar 4 hingga 5 peratus berbanding 2022.
Jelas beliau, ia berikutan penurunan KDNK 2023 bagi suku keempat pada 3.0 peratus daripada 3.3 peratus suku ketiga.
Selain itu, ia juga melihat kepada keadaan ekonomi dunia dan negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran.
“Saya meramalkan dividen KWSP 2023 untuk simpanan Shariah sekitar 4 peratus manakala, simpanan konvensional sekitar 4.5 peratus.
“Bagaimanapun, kadar pulangan dividen ini masih dianggap kompetitif berbanding simpanan lain,” katanya.
Mengenai simpanan shariah, beliau berpendapat, dividen simpanan itu lebih rendah kerana pelaburan oleh KWSP hanya dibuat dalam syarikat-syarikat yang memenuhi tuntutan syarak.
“Selain itu, pengasingan sepenuhnya aset simpanan Shariah KWSP masih belum dilaksanakan bagi 2023 dan tidak dapat menjadikan dividen yang diterima pencarum simpanan Shariah lebih tinggi atau hampir sama dengan simpanan konvensional,” katanya.
Mengulas lanjut, sekiranya pengasingan aset ini dapat diasingkan sepenuhnya bagi 2024, ini mampu mencorakkan peluang pelaburan yang menghasilkan keuntungan tinggi kepada penyimpan simpanan berasaskan syariah di KWSP.
“Malah, ini juga akan menarik lebih ramai ahli KWSP bertukar dari akaun simpanan konvensional kepada simpanan syariah kerana simpanan shariah ini mempunyai Jawatankuasa Penasihat shariah KWSP,” katanya. – UTUSAN










