KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menulis sendiri titah diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada Isnin depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Sultan Ibrahim menerusi titah itu akan menzahirkan visi dan misi sepanjang tempoh pemerintahan Seri Paduka selepas menaiki takhta Yang di-Pertua Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.
Beliau mengingatkan kepada semua 222 ahli Parlimen untuk menghayati titah pertama dizahirkan Sultan Ibrahim dalam istiadat itu kelak.
“Saya pun tidak tahu apakah titah Tuanku itu nanti. Kebiasaan kerajaan bagi intipati, namun menjadi hak Seri Paduka untuk menzahirkan apakah visi dan misi pemerintahan Baginda.
“Kita sendiri akan cuba sebaik mungkin penuhi kehendak titah Tuanku,” katanya dalam Perjumpaan Yang Dipertua Dewan Rakyat bersama Ketua Pengarang Media di Parlimen hari ini.
Sultan Ibrahim dijangka menzahirkan titah sulung sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada Isnin depan.
Dalam pada itu, Johari berkata, waktu bulan madu untuk semua ahli Parlimen sudah berakhir dengan masing-masing perlu tampil kematangan sebagai wakil rakyat dalam mesyuarat kali ini.
Katanya, semua diingatkan mematuhi peraturan mesyuarat dan bersikap serius dengan tidak mengheret emosi ketika perbahasan berlangsung.
Katanya, beliau bersama dua Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat akan bersikap serius terhadap mana-mana ahli Parlimen yang melanggar peraturan mesyuarat.
“Masa bulan madu selepas setahun bergelar ahli Parlimen telah tamat. Kini masa untuk berbahas dengan serius. Saya akan beri apakah boleh dan tidak boleh pada 27 Februari nanti,” katanya. – UTUSAN










