PETALING JAYA: Airbus dan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalankan kajian menyeluruh tentang emisi karbon kumpulan penerbangan tersebut.
Menurut Airbus, perjanjian tersebut ditandatangani di Singapura, menjelang Pertujukan Udara Singapura, oleh Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See dan Ketua Pegawai Kelestarian Airbus, Julie Kitcher.
Katanya, langkah itu menandakan permulaan kemitraan (perkongsian) selama dua tahun antara kedua-dua entiti tersebut, khusus untuk meneroka pelbagai cara untuk penyahkarbonan dalam operasi MAG.
“MoU antara Airbus dan MAG merangkumi lima bidang tumpuan utama. Ini termasuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF); Penyingkiran Karbon Dioksida (CDR); penilaian implikasi kewangan yang berkaitan dengan pengurangan CO2; ramalan dan
perancangan senario; dan usaha advokasi dan komunikasi bersama,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan dan wakil daripada Airbus dan MAG terlibat dalam perbincangan yang meluas mengenai strategi penyahkarbonan yang direka khas mengikuti keperluan unik kumpulan syarikat penerbangan tersebut.
Sementara itu, Philip berkata, kajian dengan Airbus itu akan mengukuhkan momentum MAG untuk menjadikan unit penerbangan lebih mampan.
Katanya, sejak pelancaran Pelan Tindakan Kelestarian MAG pada 2021, MAG komited untuk menggalakkan pembangunan sosio-ekonomi dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Kerjasama dengan Airbus ini adalah sebahagian daripada inisiatif itu, dan melalui kajian itu, MAG akan lebih tersedia untuk memenuhi tanggungjawab terhadap alam sekitar dan memperkasakan komuniti global yang dilayaninya,” katanya.
Julie pula berkata, Airbus komited untuk mempelopori penerbangan mampan, dan MoU itu mempamerkan komitmennya untuk meningkatkan pembangunan dan penggunaan alat penyahkarbonan seperti SAF dan CDR.
“Airbus dan Malaysia Airlines mempunyai hubungan yang telah lama terjalin, yang akan bertambah erat apabila kami meraikan penghantaran pesawat berbadan lebar A330neo baharu mereka akhir tahun ini. Perjanjian ini bukan sahaja akan menyediakan asas yang sangat baik untuk peta jalan kelestarian MAG, tetapi juga untuk Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas,” katanya. – UTUSAN










