KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) untuk menubuhkan Lembaga Pelabuhan Berpusat Sarawak akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan Lembaga Pelabuhan Berpusat kelak membolehkan kerajaan negeri mengambil alih Pelabuhan Bintulu dan menjadikan pelabuhan itu sebagai perhentian kepada semua pelabuhan-pelabuhan yang ada di Sarawak.
“Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai menteri bertanggungjawab akan menggerakkan usaha ini,” jelasnya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang tadi.
Dalam pada itu, Abang Johari turut memberitahu pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan, namun masih belum memutuskan cadangan nama bagi penubuhan tersebut.
“Timbalan Premier sedang meneliti untuk membentuk satu pihak berkuasa pelabuhan pusat selepas pelabuhan Bintulu diambil alih menjelang Jun tahun ini.
“Justeru itu, Undang-undang mesti digubal untuk menubuhkan pihak berkuasa pelabuhan pusat (Lembaga Pelabuhan Sarawak),” tegasnya lagi. – UTUSAN










