KHIDMAT runding cara keluarga adalah salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk umat Islam. Perkhidmatan ini ditawarkan melalui Unit Runding Cara yang menguruskan aduan rumah tangga dan kekeluargaan yang melibatkan isu pernikahan, perceraian, rujuk dan pelbagai aduan mengenai krisis rumah tangga.
Dalam kata-kata lain, sekiranya kita mengalami konflik rumah tangga dan tiada tempat untuk dituju bagi membantu kita keluar daripada permasalahan itu, kita boleh merujuk kepada Unit Runding Cara Keluarga untuk mendapatkan pandangan dan nasihat.
Untuk melihat sejauh mana masyarakat Islam memanfaatkan perkhidmatan ini, saya mendapatkan data runding cara keluarga daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dari 2018 hingga 2022 menunjukkan kepentingan perkhidmatan ini kepada ummah.
Melaluinya juga kita dapat mengenali dengan lebih dekat lagi profil pengadu atau klien perkhidmatan ini serta punca-punca mereka membuat aduan.
Dalam tempoh itu, terdapat 38,449 aduan (kes) yang memerlukan khidmat runding cara dari JAWI. Secara puratanya, Unit Runding Cara JAWI ini menyantuni lebih kurang 7,690 aduan setahun.
Angka ini menunjukkan bahawa perkhidmatan runding cara ini mempunyai pengadu atau klien yang ramai dan ini membuktikan bahawa perkhidmatan ini amat diperlukan oleh masyarakat Islam di Kuala Lumpur.
Dengan adanya perkhidmatan ini, ia memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk mendapatkan bantuan dalam menyelesaikan kekusutan yang berlaku dalam keluarga mereka.
Data lima tahun yang dirujuk menunjukkan bahawa dari segi jantina, kedua-dua lelaki dan perempuan mendapatkan perkhidmatan ini. Namun, golongan perempuan lebih ramai yang mengambil inisiatif untuk mendapatkan khidmat runding cara ini.
Dari segi pendapatan, perkhidmatan ini dirujuk oleh pelbagai lapisan masyarakat, dari yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan hinggalah oleh mereka yang berpendapatan lebih dari RM10,000 sebulan.
Namun, majoriti pengadu adalah mereka yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan (65.8 peratus). Ini mungkin ada kaitannya dengan hakikat bahawa perkhidmatan ini adalah percuma.
Maka, ia menjadi satu-satunya tempat untuk golongan yang berpendapatan rendah mendapatkan nasihat dan pandangan berkaitan konflik keluarga yang dihadapi.
Dari segi umur, data menunjukkan bahawa perkhidmatan runding cara keluarga ini dimanfaatkan oleh semua peringkat umur, dari 17 tahun hingga 71 tahun ke atas. Namun, majoriti pengadu adalah dalam kalangan mereka yang berusia antara 31 hingga 40 tahun (49.2 peratus).
Melihat kepada taraf pendidikan, data menunjukkan bahawa perkhidmatan ini dirujuk oleh mereka dari pelbagai latar belakang pendidikan. Namun, majoriti pengadu adalah terdiri daripada mereka yang berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia/Vokasional (SPM/SPMV) atau yang setaraf (33.9 peratus), diikuti oleh mereka yang memiliki diploma (19.3 peratus).
Data tempoh itu juga menunjukkan bahawa khidmat runding cara keluarga ini dimanfaatkan oleh mereka dari tempoh perkahwinan yang pelbagai, dari yang baru berkahwin (kurang setahun) hinggalah yang berkahwin lebih dari 50 tahun. Namun, majoriti pengadu terdiri dari mereka yang berkahwin selama 6 hingga 10 tahun (32.4 peratus) diikuti oleh mereka yang berkahwin antara 1 hingga 5 tahun (22.1peratus).
Dari segi jenis-jenis aduan (punca masalah atau konflik), terdapat beberapa kategori aduan yang direkodkan seperti campur tangan pihak ketiga, kurang penghayatan agama, masalah akhlak atau sosial, ekonomi, kerjaya, kesihatan, komunikasi, masalah seksual, perbezaan latar belakang dan tidak bertanggungjawab.
Namun, untuk lima tahun tersebut, tiga jenis aduan yang tertinggi ialah masalah akhlak atau sosial (14, 131 aduan), tidak bertanggungjawab (10,083 aduan) dan masalah komunikasi (6,848 aduan).
IMPLIKASI
Penemuan-penemuan ini mempunyai beberapa implikasi. Pertama, perkhidmatan runding cara keluarga JAWI ini amat diperlukan oleh masyarakat Islam di Kuala Lumpur yang berhadapan dengan konflik rumah tangga dan tiada tempat lain yang boleh dituju untuk mendapatkan pandangan dan nasihat.
Kedua, profil pengadu perempuan, berpendapatan RM4,000 dan ke bawah, berusia antara 31 hingga 40 tahun; berpendidikan SPM/SPVM atau yang setaraf dan berkahwin selama 6 hingga 10 tahun menunjukkan bahawa mereka inilah yang berpotensi tinggi untuk menghadapi konflik rumah tangga dan memerlukan bantuan untuk menyelesaikan konflik mereka.
Maka, kursus pasca perkahwinan, sekiranya dilaksanakan, perlu mensasarkan golongan ini sebagai peserta agar ilmu yang diperoleh dalam kursus-kursus itu dapat mempersiapkan mereka untuk menjauhi perkara-perkara yang boleh menimbulkan konflik dalam keluarga atau membantu mereka untuk menyelesaikan konflik-konflik tersebut.-UTUSAN
PENULIS ialah Felow Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










