KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bercadang memperluaskan kempen bebas beg plastik ke bazar Ramadan sekitar negeri ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penggunaan bahan itu terhadap kelestarian alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, usaha tersebut bagaimanapun memerlukan pendidikan dan kesedaran daripada pihak pengusaha dan pengguna sendiri.
Menurutnya, proses tersebut akan bermula dengan aspek pendidikan kepada pengusaha dan penjual mengenai keburukan penggunaan beg plastik diikuti kesedaran dalam kalangan pembeli.
“Dengan adanya kesedaran, kita harap mereka (pengusaha dan pembeli) dapat mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan beg plastik secara berperingkat.
“Setakat ini, kerajaan negeri tidak mengeluarkan atau menyediakan bekalan beg kertas atau beg tenun (woven bag) dalam menjalankan kempen tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kota Bharu Bebas Beg Plastik di Lembah Sireh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu menjelaskan, semua pengusaha perlu menyediakan sendiri bahan-bahan berkenaan supaya kempen itu berhasil.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 11 buah pasar raya memberi sokongan penuh dan turut sama dalam menjayakan Kempen Kota Bharu Bebas Beg Plastik dengan 100 peratus tidak menyediakan beg plastik kepada pelanggan.
“Dengan kempen yang dijalankan, kita akan dapat menyelamatkan bumi kerana bahan-bahan yang diperbuat daripada plastik ini merupakan bahan-bahan yang sukar terurai.
“Beg plastik misalnya akan mengambil masa antara 20 hingga 30 tahun untuk terurai manakala penyedut minuman pula akan mengambil masa sehingga 500 tahun,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hilmi memberitahu cadangan kuota subsidi petrol dan diesel kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dimajukan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, ia merupakan permohonan khusus kepada negeri-negeri yang tidak menggunakan Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007).
“Kita hanya mengusulkan sahaja permohonan itu kerana banyak PBT lain turut menghadapi masalah yang sama. Cadangan berkenaan kini berada dalam pertimbangan pihak menteri,” ujarnya.-UTUSAN











