PUTRAJAYA: Perkhidmatan pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan seperti diwartakan sebelum ini.
Ia susulan keputusan Kementerian Kewangan agar perkhidmatan disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K berdaftar dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai berkuat kuasa mulai 1 Mac ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri berkenaan.
Katanya, pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan PT&K ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani dan diterapkan dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Keputusan yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai langkah untuk meningkatkan kesihatan diri keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
“Pada masa sama, Kerangka Ekonomi Madani juga akan giat memperkasakan sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan keputusan tersebut, pengamal PT&K yang berdaftar dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Terdapat tujuh kategori dalam perkhidmatan itu tidak dikenakan cukai perkhidmatan iaitu perubatan Tradisional Melayu; Perubatan Tradisional Cina; Perubatan Tradisional India; Homeopati; Kiropraktik; Osteopati; dan Amalan Pengubatan Islam.
Kementerian Kewangan juga bersetuju supaya keputusan tersebut terpakai ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat yang seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K yang berdaftar dengan Akta 775 bagi perkhidmatan tersebut untuk tempoh sebelum 1 Mac 2024.
Menurut Azizan, kerajaan akur bahawa jauh lagi landasan untuk melebarkan sayap PMKS tempatan ke persada antarabangsa.
Maka, katanya, pengusaha-pengusaha tersebut memerlukan kebergantungan permintaan domestik untuk kemandirian perniagaan mereka buat masa ini, lebih-lebih lagi bagi PMKS yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia. – UTUSAN











