Industri perbankan kena terus berdaya saing - Utusan Malaysia

Industri perbankan kena terus berdaya saing

Anwar Ibrahim pada majlis ramah mesra bersama warga Maybank di Menara Maybank, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri perbankan negara digesa untuk terus kekal berdaya saing menangani  fenomena tiga ‘C’ (kerumitan, huru-hara dan percanggahan) di zaman pasca-normal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fenomena tersebut menuntut perubahan yang sangat pantas dilakukan dan tidak boleh lagi berada di dalam standard lama yang diamalkan.

Kata beliau, industri kewangan perlu memainkan peranan penting sebagai tunggak dalam sistem ekonomi negara untuk menyokong pertumbuhan.

“Kalau industri kewangan itu gagah perkasa dan diyakini ia akan membangun keyakinan rakyat serta pelabur sama ada domestik mahupun luar negara. 

“Kepantasan, kecekapan dan keupayan pengurusannya mengurus adalah keprihatinan terhadap nasib pekerjanya serta program-program yang selari dengan tuntutan negara,” katanya semasa berucap di majlis ramah mesra bersama warga Maybank di Menara Maybank, di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Naím Mokhtar dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakhirsnan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pihak bank perlu menggalas tanggungjawab bersama kerajaan untuk menjayakan objektif dalam mereformasikan ekonomi seperti yang diketengahkan dalam ekonomi Madani.

Jelasnya, kerangka ekonomi Madani menumpukan pada tiga industri iaitu peralihan tenaga, sekuriti makanan dan transformasi digital yang dilihat mampu mengangkat darjat negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut mempunyai peranan yang besar bukan sahaja domestik tetapi juga di peringkat global.

“Jika kita lihat dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), peranan PKS lebih besar. Jadi saya hargai apa yang dilakukan oleh sektor tersebut dan inisiatif daripada pihak bank,” katanya.

Tambahnya, nilai manusiawi atau insan perlu ditekankan dan tidak hanya memikirkan tentang mengejar keuntungan semata-mata.

PROGRAM

Dalam majlis sama, Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut melancarkan program memperkasakan PKS iaitu myimpact PKS.

Pengerusi Kumpulan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk meningkatkan daya saing PKS di rantaian bekalan global dengan menyediakan suatu ekosistem holistik perbankan.

 Menurutnya, myimpact PKS akan melangkaui perbankan berdasarkan prinsip kelestarian dan beretika.

“Inisiatif ini juga menyokong penuh pembangunan industri halal dengan ketersediaan Maybank Halal Solutions.

“Sejak lima tahun yang lalu termasuk ketika era pandemik, Maybank menyalurkan pelbagai kemudahan pembiayaan kepada PKS yang berjumlah lebih RM66 bilion. Pengalaman luas kami telah membantu PKS mengenali cabaran dan potensi mereka.

“Sekarang, merupakan detik penting bagi PKS untuk memajukan lagi tahap kompetitif mereka di persada dunia, sejajar dengan matlamat NIMP 2030,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN