MUAR: Seorang penolong penyelia sebuah syarikat penghantaran wang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dengan menggunakan wang RM39,476 milik syarikat untuk kepentingan peribadi, tahun lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Nursyani Athirah Shamsuddin, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suaibon.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Nursyani didakwa melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang syarikat berjumlah RM39,476 untuk kegunaan sendiri di sebuah syarikat di Parit Jawa, Muar antara 27 hingga 28 Julai 2023.
Dia didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Difahamkan tertuduh tidak melakukan pemindahan wang perbankan dalam talian ke akaun syarikat bagi transaksi tunai yang diterimanya, namun menggunakan wang itu untuk bersalin dan perbuatan tersebut dikesan oleh juruaudit syarikat tersebut.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursulehan Abd. Rahman.
Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Muar setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 28 Mac depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN










