KUALA LUMPUR: Bekas juara Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth, Emman Azman akan kembali beraksi 2 Mac ini sempena Malaysia Pro Wrestling (MYPW) 2024.
Emman berkata, beliau teruja untuk bersaing dengan pemain senegara, Thommy Ardhi dalam saingan perseorangan pada perlawanan New Breed II.
“Acara ini memang besar kerana kami meraikan 10 tahun gusti pro di Malaysia dan ahli gusti Malaysia akan bersaing dengan ahli gusti Australia dan Singapura juga. Selain saya, juara dunia MYPW Carlo Cannon dari Australia juga akan bertanding.
“Saya akan bersaing dengan pemain Malaysia, Thommy Ardhi dalam single competition. Thommy adalah orang baru, jadi saya berharap dapat menjadikannya perlawanan yang baik,” katanya.
Bakal berlangsung di KuAsh Theatre TTDI, Kuala Lumpur, perlawanan New Breed II yang dianjurkan My Pro Wrestling (MYPW) bakal menampilkan bakat gusti anak-anak tempatan menentang ahli gusti negara luar seperti Australia dan Singapura.
Selain Emman, juara dunia MYPW, Carlo Cannon dari Australia juga mengesahkan kehadiran untuk bertanding.
Untuk rekod, Emman cemerlang pada pembuka tirai 2024 perlawanan ‘Renegades of Wrestling’ dengan menewaskan Robbie Eagles dalam pertarungan berlangsung 26 minit di Melbourne, Australia pada 25 Januari lalu. – UTUSAN











