PENINGKATAN ketara dalam permintaan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) menandakan pergeseran trend dalam kalangan masyarakat urban yang semakin prihatin dengan kelestarian, aksesibiliti, dan kualiti hidup di dalam bandar.
Faktor-faktor seperti urbanisasi pesat dan pertumbuhan penduduk telah mencetuskan kebimbangan akan kesesakan lalu lintas dan pencemaran alam sekitar di bandar-bandar.
Oleh itu, peningkatan permintaan terhadap projek TOD memberikan gambaran tentang kesedaran dan keperluan untuk merangkul alternatif pengangkutan yang mampan serta pembangunan bandar yang holistik.
Buktinya, projek TOD di bawah Tropicana Corporation Berhad, Dianthus Serviced Residences (271 unit) dan Cyperus Serviced Residences (406 unit) yang dilancarkan pada 2016 dan 2014 dan masing-masing berharga dari RM825,000 dan RM709,000 habis terjual.
Selain itu, terdapat juga projek pembangunan berorientasikan TOD campuran iaitu Tropicana Gardens seluas 17.6 ekar yang terletak dilokasi strategik di tengah Tropicana Indah di Kota Damansara.
Pembangunan bersepadu itu yang mempunyai sijil Bangunan Hijau (GBI) adalah Arnica, Bayberry, Cyperus, Dianthus dan Edelweiss sesuai untuk dalam melestarikan alam sekitar.
Pengarah Urusan Jualan dan Pemasaran Tropicana Corporation Berhad, Ixora Ang berkata, tidak dinafikan permintaan terhadap projek TOD meningkat disebabkan pertumbuhan penduduk mendorong peralihan ke arah penyelesaian pengangkutan yang lebih mampan dan efisien.
Jelasnya, pertambahan itu menyebabkan kesesakan di bandar-bandar menyuntik kesedaran untuk kehidupan lebih selesa dalam pembangunan yang bersambung dengan kemudahan baik seperti yang ditawarkan di Tropicana.
“Kesedaran terhadap faedah TOD semakin meningkat seperti mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan peribadi, kelestarian alam sekitar, meningkatkan akses kepada kemudahan, kebolehgunaan maksimum dalam persekitaran yang selamat dan meningkatkan koneksi komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, peningkatan permintaan itu mendorong Tropicana melaksanakan beberapa strategi penting dalam perancangan pembangunan hartanah bagi projek TOD.
“Kami teliti dalam mempromosikan kelestarian bagi memberi keutamaan kepada reka bentuk dan pembinaan yang mampan untuk mengurangkan impak alam sekitar serta meningkatkan kualiti hidup keseluruhan penduduk.
“Selain itu, mengurangkan jejak karbon, pemilihan lokasi-lokasi strategik yang memastikan akses yang mudah dan mengintegrasikan pembangunan berusia campuran turut dititik beratkan,” ujarnya.
Menurutnya, ia dapat mencipta pembangunan TOD yang mampan dalam memenuhi keperluan penduduk bandar masa kini.
Bagi Ixora, pihaknya percaya projek TOD menawarkan nilai yang menarik, menggabungkan akses yang mudah kepada pengangkutan dengan kemudahan dan reka bentuk bandar yang berkualiti tinggi.
“Oleh itu, kami komited untuk memastikan kelestarian dan kejayaan jangka panjang dalam pembangunan TOD kami,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai projek TOD terbaharu, Ixora berkata, Edelweiss SOFO and Serviced Residences merupakan antara projek TOD terkini dari Tropicana.
“Projek ini menawarkan sistem rumah pintar yang inovatif, membolehkan kawalan mudah ke setiap aspek ruang kehidupan masyarakat,” ujarnya.
Katanya,, menara 52 tingkat itu terdiri daripada 630 unit pangsapuri perkhidmatan dan 397 unit pejabat fleksibel pejabat kecil (SOFO) dengan keluasan masing-masing dari 556 hingga 1,111 kaki persegi dan 452 hingga 858 kaki persegi.
Bagaimanapun, beliau menambah, pelbagai cabaran dihadapi sebagai pemaju dalam memenuhi permintaan pembeli yang semakin meningkat itu.
“Antaranya adalah kompleksiti sistem infrastruktur dan pengangkutan yang terlibat, di samping memastikan akses perhubungan yang lancar,” ujarnya.-UTUSAN










