PROJEK pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang menggabungkan perumahan dan kemudahan komersial dengan akses yang mudah kepada pengangkutan awam, kini dianggap sebagai pencetus utama peningkatan nilai hartanah.
Dengan menyediakan gaya hidup yang terintegrasi dan menyeluruh, projek TOD tidak hanya memenuhi keperluan penghuni, tetapi juga mencipta persekitaran bandar yang dinamik dan berdaya maju.
Pendekatan projek TOD telah muncul sebagai satu strategi yang memberikan nilai tambah kepada pasaran hartanah.
Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM) PMgr Sr. Ishak Ismail berkata, projek TOD boleh memberi kesan positif ke atas nilai hartanah.
Jelasnya, projek TOD biasanya mempunyai pengaruh positif disebabkan kemudahan dan keboleh capaian yang ditawarkan.
Menurut Ishak Ismail, faktor-faktor seperti berdekatan dengan hab transit seperti kereta api, bas dan kereta bawah tanah mampu menarik bakal pembeli dan perniagaan.
“Hartanah berhampiran stesen transit selalunya mendapat permintaan tinggi, menarik penduduk dan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, dengan menyediakan akses mudah kepada pengangkutan awam, projek TOD bertujuan untuk mengurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian.
“Ini boleh mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang berkurangan dan menyumbang kepada peningkatan keseluruhan mobiliti bandar,” katanya.
Beliau menambah, projek TOD mendapat peningkatan permintaan disebabkan penggunaan tanah yang cekap di mana menggalakkan pembangunan padat, guna bercampur, dan mengoptimumkan penggunaan ruang bandar yang terhad.
“Ini boleh membawa kepada komuniti yang lebih bertenaga dan berdaya maju dari segi ekonomi dengan gabungan ruang kediaman, komersial dan rekreasi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, penting untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh dan bekerjasama dengan pakar dalam perancangan bandar, hartanah dan pengangkutan untuk menilai potensi pertumbuhan projek TOD di lokasi tertentu.
Dalam pada itu, Pengarah Penyelidikan Hartanah, Rahim & Co International Sdn. Bhd., Sr. Sulaiman Saheh berpandangan, pelancaran projek-projek berasaskan konsep TOD rata-rata telah menyaksikan kadar penjualan yang sihat.
Beliau berkata, pelancaran pertama pada suku ketiga 2021 telah menyaksikan prestasi penjualan 95 peratus serta-merta.
“Contohnya, pelancaran TOD pada Jun 2023 oleh UEM Sunrise bernama The Connaught One telah menyaksikan 85 peratus daripada Menara A dijual pada hari pelancarannya,” katanya.
Selain itu, katanya, projek Astrum Ampang oleh Kumpulan Setia Awan terletak bersebelahan Stesen LRT Jelatek juga menyaksikan kadar penjualan penuh untuk pelancaran fasa-fasa terawalnya dan kini telah membuka pelancaran bagi fasa ke-4.
Sulaiman berkata, permintaan untuk TOD yang sihat itu juga disebabkan oleh manfaat yang memberikan kesan positif kepada nilai hartanah.
Baginya, kajian pasaran hartanah yang komprehesif memainkan peranan untuk memperhalus kebolehpasaran sesebuah projek dengan strategi harga yang tepat.
“Tetapi ia masih bergantung kepada faktor-faktor lain seperti kualiti produk, reputasi pemaju, harga dan kemampu milikan kepada pembeli sasar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, konsep pembangunan TOD digalakkan kerana dianggap sebagai satu daripada penyelesaian bekalan rumah mampu milik.
Menurutnya, akses terus ke stesen transit berpegang pada tema kebolehan kehidupan mampu milik, terutamanya bagi yang tidak mahu atau tidak mampu memiliki kenderaan persendirian.-UTUSAN










