PETALING JAYA: Kerajaan berusaha mencari penyelesaian untuk para seniman termasuk dengan menambah baik skim bagi melindungi kumpulan tersebut dan ahli keluarga terdekat mereka.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, golongan seniman sudah banyak memberi sumbangan kepada negara dan kebajikan mereka perlu dipertingkatkan.
Beliau menyatakan perkara tersebut selepas melakukan lawatan ke rumah pelakon terkenal, Allahyarham Man Kadir Samsi atau lebih dikenali dengan watak Pak Jabit melalui filem Zombi Kampung Pisang bagi melawat balunya, Raja Maharani Raja Jaafar, 70, yang kini terpaksa bergantung dengan mesin oksigen 15 jam sehari untuk bernafas.
“Pak Jabit pulang ke Rahmatullah beberapa tahun lalu dan meninggalkan seorang balu, Mak Cik Maharani dan beberapa orang anak. Mak Cik Maharani kata arwah suaminya hanya meninggalkan wang tunai RM5,000 sahaja, dan segalanya bagai bujuk lepas dari bubu dalam beberapa bulan.
“Ramai artis veteran tidak mempunyai simpanan mencukupi di penghujung karier, macam Pak Jabit. Bulan lepas Mak Cik Maharani sekali lagi diuji, dia jatuh sakit dan batuknya jadi semakin teruk, kini perlu bergantung kepada penumpu oksigen.
“Berkat usaha anak-anak, mereka dapat menyewa penumpu oksigen berharga RM350 sebulan dengan RM500 sebagai deposit. Kos tambahan ini sememangnya sukar untuk mereka tanggung setiap bulan. Nak beli mesin kena keluarkan RM4,000 pula, lagilah tak mampu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Fahmi mengunjungi sebuah farmasi di Kuantan, Pahang bagi mendapatkan penumpu oksigen dan beberapa kotak susu formula khas untuk isteri kepada pelakon veteran tersebut.
“Sebagai Menteri Komunikasi, adalah tanggungjawab saya untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat, terutamanya para seniman,” ujarnya.- UTUSAN











