PETALING JAYA: “Saya keliru, mengapa saya terlibat? Dengan siapa? Sebab saya rasa tidak terlibat dengan siapa-siapa terutama pihak yang menyalahi undang-undang atau berhaluan lain”.
Demikian kata bekas Setiausaha Agung Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Abu Bakar Abdul apabila namanya terpalit antara tiga nama aktivis daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang tersenarai dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).
Katanya, beliau tidak pernah masuk campur berkenaan soal politik atau kumpulan tertentu tetapi sebaliknya hanya melakukan kerja-kerja kemanusiaan ketika bencana alam melanda negara-negara Islam seperti banjir, gempa bumi dan seumpamanya.
“Saya tidak tahu apa isu yang sebenarnya, bila masanya berlaku sebab saya sudah tidak pegang jawatan Setiausaha Agung DMDI sejak tahun 2020. Jika berlaku semasa saya menggalas jawatan mungkin saya boleh jawab.
“Memang saya tidak tahu bagaimana nama saya boleh terkait dengan perkara tersebut, atas alasan apa dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, tular satu surat dikeluarkan Kementerian Luar kepada Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari memaklumkan tiga aktivis dari tiga NGO di negara ini disenaraikan dalam TSC oleh FBI.
Selain daripada Abu Bakar, nama yang turut tersenarai adalah aktivis daripada Persatuan Cinta Syria, Ahmad Musa Al dan Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut.
Menerusi surat berkenaan juga, pihak Kementerian Luar meminta pihak Sekretariat Induk Op Ihsan untuk mengambil tindakan sewajarnya memastikan tiga individu yang disenaraikan tidak lagi terbabit dengan Ops Ihsan.
Mengulas lanjut, Abu Bakar mengesahkan beliau tidak mendapat sebarang surat atau arahan daripada mana-mana pihak berkenaan perkara tersebut.
“Mungkin saya akan dapatkan maklumat lanjut daripada kementerian berkaitan untuk tahu apa cerita yang sebenar kerana mereka pasti ada maklumat terperinci. Surat yang tular tu pun bukan dituju pada saya,” katanya.










