Thaksin tiba di rumah selepas jalani hukuman penjara di hospital

Thaksin tiba di rumah selepas jalani hukuman penjara di hospital enam bulan

THAKSIN Shinawatra tiba di pekarangan rumah keluarganya selepas dikeluarkan dari hospital polis di Bangkok hari ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra tiba di rumahnya di Bangkok selepas dibebaskan dengan parol dan menjalani hukuman penjara selama enam bulan di hospital dan 15 tahun berada dalam buangan.

Jutawan kontroversi itu, dua kali dipilih sebagai Perdana Menteri dan digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Tetapi hukumannya dipotong setahun oleh Raja Maha Vajiralongkorn minggu lalu berikutan lelaki berusia 74 tahun itu layak dibebaskan awal kerana usia dan kesihatannya.

Thaksin memakai pendakap leher dan duduk di sebelah anak perempuannya Paetongtarn dan Pintongta, keluar dari hospital polis di tengah Bangkok tempat dia menghabiskan masa setengah tahun lalu.

Segelintir orang yang membantah pembebasannya berkumpul di hadapan hospital.

Sebuah kereta dilihat  memandu ke rumah Thaksin, di mana sepanduk ‘selamat datang’ diikat di pintu pagar rumahnya.

Seorang wanita memakai baju-T dengan gambar Thaksin terpampang di hadapan berkata dia  berdiri di luar rumah Thaksin selama dua hari.

“Saya mahu memberitahu dia untuk melawan. Jika dia (di sini), negara akan maju,” kata wanita itu.

Butiran sebenar pembebasannya tidak jelas, tetapi Thaksin mungkin tertakluk kepada pemantauan, mungkin dengan memakai penanda di buku lali dan sekatan ke atas haknya untuk melakukan perjalanan.

Thaksin kembali ke Thailand pada 22 Ogos lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan berikutan disabitkan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Pada hari ketibaannya di Thailand, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun kepada bekas Perdana Menteri itu.

Beliau dimasukkan ke Police General Hospital kerana masalah kesihatan beberapa jam selepas malam pertamanya di Penjara Reman Bangkok.

Thaksin mengadu sakit dada, tekanan darah tinggi, paras oksigen darah rendah dan insomnia semasa ditahan di wad perubatan penjara.

Pada 1 September tahun lalu, hukuman penjara Thaksin dikurangkan kepada satu tahun melalui pengampunan diraja.

Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata, parol yang diterima Thaksin mematuhi peraturan Jabatan Pemulihan.

Pada Rabu lalu, Menteri Kehakiman Thailand Tawee Sodsong berkata, Thaksin layak untuk dibebaskan awal kerana beliau berada dalam kategori banduan yang menghidap penyakit kronik dan berusia lebih 70 tahun.

Kerajaan menafikan sebarang perjanjian berlaku dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, dari parti Pheu Thai menegaskan Thaksin sudah menjalani hukuman penjara walaupun tidak jelas bila Thaksin akan menghabiskan masanya di dalam sel penjara.

Parti Move Forward (MFP) Thailand yang memenangi kebanyakan kerusi pada pilihan raya lalu tetapi dihentikan daripada membentuk kerajaan, berkata,  pembebasan Thaksin mencetuskan persoalan sama ada beliau berhak menerima layanan istimewa.

“Thailand memerlukan sistem demokrasi di mana kedaulatan undang-undang dan sistem keadilan digunakan dengan cara yang sama untuk semua orang, tanpa dwistandard… untuk orang yang mempunyai hak istimewa,” kata parti itu dalam satu kenyataan Ahad.

Bekas taikun telekomunikasi itu adalah salah seorang tokoh yang paling berpengaruh tetapi memecah belah dalam sejarah Thai moden.

Thaksin disayangi oleh berjuta-juta penduduk luar bandar Thai kerana dasar populisnya pada awal 2000-an tetapi ditentang oleh pertubuhan diraja dan pro-tentera negara itu.

Polis meletakkan tuduhan lese-majeste terhadapnya minggu lalu berhubung komen yang dibuatnya di Korea Selatan hampir sedekad lalu, walaupun tidak jelas sama ada pihak pendakwa raya akan membawa kes itu ke mahkamah. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×