JOHOR BAHRU: Seorang Juruteknologi Makmal Perubatan di Jabatan Patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini didakwa atas 25 pertuduhan menerima rasuah antara 2019 hingga tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Saifulamin Sabran, 52, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa bersetuju menerima suapan daripada enam individu antara RM500 hingga RM2,000 melibatkan jumlah keseluruhan RM16,150.
Kesemua wang suapan itu diterima secara dalam talian di enam lokasi bank berbeza di sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, dan Kulai antara 17 Ogos 2019 hingga 19 Januari 2023.
Dia didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Julaila Jamaludin mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM13,000 bagi semua pertuduhan.
Julaila turut meminta mahkamah menetapkan syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu saksi, perlu melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Walau bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Shaikh Saleem SM. Daud meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM10,000 bagi semua pertuduhan.
“Tertuduh masih bekerja dan mempunyai tanggungan seorang isteri serta tiga orang anak. Tertuduh juga memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes ini berlangsung,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN










