KUALA TERENGGANU: Perkhidmatan pengangkutan air tradisional, bot penambang yang beroperasi di muara Sungai Terengganu sejak lebih 50 tahun lalu kini semakin suram akibat dihakis arus pemodenan walaupun memiliki nilai warisan cukup tinggi.
Bot penambang tersebut yang sangat sentimental dalam kalangan masyarakat setempat di Kampung Seberang Takir, Pulau Duyung dan Jeram, di sini berisiko lenyap jika tiada usaha bersungguh-sungguh diambil oleh mana-mana pihak untuk menyelamatkan warisan berkenaan.

Pengangkutan air terpenting pada suatu ketika dahulu yang merupakan ikon kepada sektor pelancongan di Terengganu kini hanya diusahakan warga emas yang masih bersemangat dan cekal mempertahan warisan itu walaupun pendapatan mereka tidak memadai, ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Sementara itu, generasi muda pula tidak berminat meneruskan kerjaya tradisional tersebut kerana tidak menjanjikan masa depan cerah.
Pada masa ini, jumlah pengusaha bot penambang yang meneruskan perkhidmatan di muara Sungai Terengganu tinggal seramai 16 orang, iaitu 14 orang yang beroperasi di Seberang Takir dan masing-masing seorang di Pulau Duyung serta Jeram.
Perkhidmatan pengangkutan air itu pada awalnya disediakan untuk memberi kemudahan kepada penduduk yang tinggal di perkampungan tersebut ke bandar raya Kuala Terengganu khususnya di Pasar Kedai Payang.

Bagaimanapun, pada masa ini, pengusaha bot penambang banyak bergantung kepada pelancong yang mengambil kesempatan menaiki bot tersebut untuk menyusuri Sungai Terengganu sambil menikmati keindahan alam semulajadi dan keunikan Taman Tamadun Islam di pesisir sungai berkenaan.
Pengerusi Persatuan Bot Penambang Seberang Takir, Muhamad @ Mamat Ibrahim, 76, yang berasal dari Seberang Takir berkata, berdasarkan kepada perkembangan semasa, perkhidmatan bot penambang tidak mempunyai masa depan sekiranya tiada tindakan diambil terutama untuk menyelamatkannya.
Katanya, kebanyakan penduduk tempatan tidak menggunakan pengangkutan itu selepas pembukaan Jambatan Sultan Mahmud pada 1990 dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu pula 2019 kerana mereka lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri sekiranya mempunyai urusan di bandar raya Kuala Terengganu.
“Pada sekitar tahun 60-an hingga 80-an, terdapat hampir 70 pengusaha bot penambang dan suasana muara Sungai Terengganu cukup meriah dari awal pagi hingga larut malam.
“Bagaimanapun, jumlah pengusaha bot itu mula berkurangan kerana tidak diwarisi anak-anak selepas mereka meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Muhamad yang menjadi pengusaha bot penambang lebih 20 tahun lalu tetap mengharapkan pengangkutan air itu dapat dipertahan dan kekal beroperasi untuk tatapan generasi akan datang.
Sehubungan itu, katanya, penglibatan kerajaan negeri dan Pusat, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sangat ditagih untuk membantu memajukan semula perkhidmatan bot tersebut.
“Saya percaya pihak terlibat mampu merancakkan semula pengangkutan air di muara sungai ini seperti yang dilakukan di Sungai Melaka dan Sungai Sarawak.
“Kepesatan pengangkutan air tersebut juga akan membantu meningkatkan pendapatan pengusaha terlibat, seterusnya menarik minat golongan muda terlibat dalam bidang ini,” ujarnya.
NASIB PENGUSAHA BOT PENAMBANG TERABAI
Sementara itu, Harun Mahmud, 66, yang menjadi pengusaha bot penambang sejak 32 tahun lalu di Seberang Takir berkata, dia sedih mengenangkan nasib pengusaha bot penambang yang semakin terabai dan pengorbanan mereka mempertahan warisan tradisional itu tidak dihargai.
Menurutnya, pengorbanan mereka sebenarnya cukup tinggi dalam mempertahan warisan tersebut dan kental walaupun diuji dengan pelbagai dugaan.
“Air mata pengusaha bot penambang berlinangan di muara Sungai Terengganu apabila mengenangkan nasib keluarga mereka yang hidup dalam serba kekurangan kerana pendapatan diperoleh terlalu rendah dan tidak memadai.
“Bulan lalu, bot saya tidak bergerak kerana ketiadaan penumpang walaupun sering datang ke Jeti Bot Penambang Seberang Takir untuk menunggu penumpang yang mahu menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.
Ketika ini, pengusaha bot penambang menawarkan dua perkhidmatan iaitu membawa penumpang dari Jeti Bot Penambang Seberang Takir ke Jeti Bot Penambang Pasar Kedai Payang serta menyusuri Sungai Terengganu.
Bayaran tambang yang dikenakan bagi sehala perjalanan dari Jeti Bot Penambang Seberang Takir ke Jeti Bot Penambang Pasar Kedai Payang yang mengambil masa antara tujuh hingga 10 minit hanya RM2.
Tambang menyusuri Sungai Terengganu selama satu jam pula RM70 untuk sebuah bot yang boleh memuatkan seramai 12 penumpang.
“Kebiasaannya pada musim cuti sekolah dan cuti umum, terdapat pelancong yang menaiki bot penambang untuk bergambar berlatar belakang Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Masjid Kristal dan perkampungan nelayan Pulau Duyung serta Seberang Takir ketika menyusuri sungai tersebut,” katanya.

Seorang lagi pengusaha bot penambang, Hashim Ibrahim, 66, pula mengharapkan kerajaan negeri dapat memperkenal semula elaun sara hidup bulanan kepada pengusaha bot penambang sebelum ini.
Menurutnya, elaun sara hidup sebanyak RM200 itu bertujuan membantu meringankan beban pengusaha bot penambang yang mempunyai pendapatan rendah dan tidak menentu.
“Saya berpendapat kerajaan negeri wajar memberikan semula elaun sara hidup berjumlah sekurang-kurangnya RM300 bagi menggalakkan pengusaha bot terlibat mengekalkan tradisi pengangkutan air ini,” katanya.
BOT PENAMBANG TERENGGANU KEKAL UKIRAN TRADISIONAL
Ketua Bahagian Maritim Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Muhammad Shadiy Khalaf Ahmad berkata, bot-bot penambang yang beroperasi di muara Sungai Terengganu masih mengekalkan ukiran tradisional walaupun dibaik pulih sebelum ini.
Menurutnya, ciri-ciri tradisional bot penambang itu yang diperbuat daripada kayu boleh menjadi tarikan kepada pelancong untuk menaiki pengangkutan air yang masih kekal di Sungai Terengganu.
“Warisan bot penambang yang masih beroperasi di muara Sungai Terengganu perlu dipertahan kerana boleh menjadi daya tarikan istimewa kepada pelancongan yang berkunjung di negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Bot penambang itu juga digunakan dalam menjayakan perarakan bot berhias menyelusuri muara Sungai Terengganu seperti sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, bot penambang asal yang dikatakan beroperasi sebelum tahun 50-an lagi dikenali sebagai bot bedar yang menggunakan layar.
Bot bedar itu beroperasi sehingga tahun 60-an sebelum penggunaan enjin bot secara meluas.
“Bot bedar tersebut tahan lasak dan merupakan pengangkutan air yang cukup popular pada zaman tersebut,” katanya.
Pihaknya turut mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak yang ingin mengembalikan kegemilangan bot penambang di muara Sungai Terengganu itu dalam usaha mempertahan warisan tersebut.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri perlu membangunkan sebuah pusat yang menempatkan produk-produk tradisional Terengganu di kawasan Jeti Seberang Takir untuk menarik tumpuan pelancong berkunjung di kawasan itu. Ia memandangkan kedudukannya tidak jauh dari Jambatan Angkat Kuala Terengganu, seterusnya dapat memperkenal perkhidmatan bot penambang.
“Penganjuran pasar terapung yang menggunakan perahu dengan menjual pelbagai produk dan menu tempatan di kawasan jeti itu juga boleh merancakkan kehadiran pelancong di kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelancong, Ahmad Danial Ahmad Yusoff, 38, dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia tertarik menaiki bot penambang setelah melihat bot tersebut melintasi Sungai Terengganu ketika berada di atas Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Katanya, dia membawa isteri dan dua anaknya ke Jeti Seberang Takir berdekatan untuk menaiki bot tersebut.
“Saya cukup teruja apabila berpeluang menaiki bot penambang sambil menyusuri Sungai Terengganu dari Jambatan Angkat Kuala Terengganu ke Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam serta mengelilingi Pulau Duyung yang indah,” katanya.
KERAJAAN TERENGGANU JANJI MARTABAT BOT PENAMBANG
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri akan meningkatkan promosi pengangkutan air tradisional itu dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2024 untuk menarik minat pelancong yang berkunjung ke negeri ini untuk menaiki bot penambang.
Langkah yang diambil itu bagi memastikan pengangkutan tersebut terus kekal beroperasi di muara Sungai Terengganu, seterusnya meningkatkan pendapatan pengusahanya.
“Kerajaan Terengganu memberi jaminan akan terus memartabatkan perkhidmatan bot penambang sebagai pengangkutan tradisi yang menjadi daya tarikan pelancongan ke negeri ini,” katanya.
Selain itu, Razali memberitahu, kerajaan negeri akan mempopularkan lagi penggunaan bot penambang dengan kerjasama syarikat swasta, korporat dan NGO yang berminat menjadikannya sebagai acara pelancongan terkenal di negara ini.
“Sebelum ini pun ada acara tertentu seperti sambutan Bulan Kemerdekaan yang melibatkan pengusaha bot penambang dan kita akan memperhebat promosinya dalam masa terdekat.
“Saya yakin keunikannya sebagai pengangkutan bersejarah akan berjaya menarik perhatian banyak pihak bagi menjadikannya sebagai medium pengangkutan tradisi yang terus dipertahan demi warisan generasi pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN







