PONTIAN: Orang ramai menyerbu Pasar Tani Pontian di sini bagi membeli sotong yang dijual murah dan ikan kembung pula diberikan percuma kepada pengunjung.
Peniaga terlibat, Mohammad Saifullah Abdullah, 35, berkata, sebanyak 1.5 tan sotong dari Kedah habis dijual kerana gred A dijual pada harga RM30 sekilogram (kg) berbanding harga biasa RM65 satu kg.
Selain itu katanya, sebanyak 300 kg ikan kembung diberikan secara percuma kepada 200 pembeli yang datang awal.
“Sotong dan ikan-ikan tersebut dibeli dari jeti nelayan di Kuala Perlis, Perlis dan di Kuala Kedah, Kedah dengan kos kira-kira RM25,000.
“Kami seramai lapan orang datang dari Sik, Kedah bagi memberikan peluang kepada penduduk Pontian untuk mendapatkan bekalan sotong gred A dan B pada harga murah.
“Sotong gred A, kami jual dengan harga RM30 sekilogram berbanding harga biasa RM65 sekilogram, manakala sotong gred B dengan harga RM25 sekilogram berbanding RM45 di tempat lain,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di tapak pasar Tani Pontian, di sini, semalam.
Tambah Mohamad Saifullah, pihaknya telah menguar-uarkan jualan itu di media sosial minggu lepas, namun kurang mendapat sambutan memandangkan cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
“Bagi memenuhi permintaan daripada rakan-rakan yang bekerja di negeri Johor, kami tekad untuk turun ke Pontian dan terkejut dengan sambutan luar biasa,” ujarnya.
Katanya, dengan sambutan yang diberikan, dia bercadang untuk turun lagi ke Pontian sebelum ketibaan Ramadan dengan membawa produk tambahan seperti belacan Tanjung Dawai dan ikan siakap RM5 seekor. – UTUSAN










