KUALA TERENGGANU: Keunikan keropok lekor gergasi seberat 500 gram yang dijual seorang usahawan di sini terus menjadi tarikan pelancong yang datang ke negeri ini untuk dijadikan sebagai buah tangan.
Pemilik Kori Keropok Lekor Losong, Ahmad Bukhori Ayob, 38, berkata, dia perlu menyediakan lebih 500 kilogram ikan setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan setiap kali tibanya musim cuti persekolahan.
Menurutnya, ramai pelanggan yang berminat membeli keropok lekor gergasi itu kerana ia lebih besar berbanding saiz biasa 100 gram yang kebiasaannya dijual di seluruh Terengganu.
“Setiap kali cuti sekolah, memang saya dan 12 pekerja di kedai ini tidak menang tangan membuat keropok lekor gergasi yang jadi buruan orang ramai.
“Alhamdulillah, sejak diperkenalkan pada tahun 2015, sambutan yang diterima tidak pernah putus, malah semakin ramai yang membelinya dari jauh termasuk Johor dan Perlis kerana menyukai saiznya yang besar itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ahmad Bukhori menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengepos keropok lekor kepada pelanggan yang jauh dan produk itu juga pernah ‘terbang’ hingga ke Australia, Jerman dan United Kingdom yang dibawa balik oleh pelancong dari Terengganu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, permintaan keropok lekor gergasi itu yang dijual RM5 sebatang dijadikan cenderahati juga semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.
Ditanya cabaran menghasilkan keropok lekor gergasi itu pula, Ahmad Bukhori berkata, ramuannya masih sama dengan keropok lekor biasa iaitu menggunakan isi ikan Selayang dan tepung sagu.
“Cuma proses memasaknya agak lama kerana kita perlu merebus lebih 30 minit berbanding hanya 20 minit untuk saiz yang biasa,” katanya. – UTUSAN










