Dera bayi: Tunggu keputusan tutup sementara taska

Dera bayi: Tunggu keputusan tutup sementara taska

ROSNAH SARDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan dalam proses menunggu keputusan daripada ibu pejabat jabatan itu bagi mendapatkan perintah penutupan sementara ke atas taska yang terbabit dengan isu penderaan bayi di Nilai di sini baru-baru ini.

Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, laporan dan siasatan berkaitan terhadap taska di Desa Cempaka, Nilai itu sudah pun selesai.

“Kami sedang menunggu keputusan kelulusan perintah penutupan sementara daripada ibu pejabat kerana JKM negeri tidak mempunyai kuasa mengeluarkan perintah mengosongkan premis ke atas taska tersebut,” katanya ketika ditemui di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, JKM negeri mengakui kebimbangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke taska tersebut susulan kes yang berlaku.

“Dalam kes yang berlaku itu, hasil semakan secara keseluruhan mendapati pihak taska mematuhi segala peraturan yang digariskan dan taska berkenaan menjadi lokasi sahaja dalam kejadian tersebut.

“Di peringkat pelaku, tidak mempunyai jenayah lampau selain mempunyai sijil kursus asas pengasuhan kanak-kanak. Namun begitu, kami mempunyai undang-undang pusat jagaan yang terlibat dalam kejadian penderaan akan dikenakan perintah penutupan sementara,” katanya.

Rosnah memberitahu, selepas kejadian itu, didapati masih ada 20 kanak-kanak berada di taska terbabit.

“Sehubungan itu, sebagai pencegahan awal, JKM telah mengarahkan pelaku tidak mendekati taska terbabit dan peringatan turut diberikan kepada pengusaha untuk tidak menerima semula pelaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, mana-mana individu dan organisasi yang menguruskan kanak-kanak disyorkan supaya menyemak rekod jenayah seksual pekerja atau bakal pekerja melalui Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK).

Selasa lalu, seorang wanita yang juga pengasuh di sebuah taska dekat Desa Cempaka, Nilai, di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menganiaya atau bertindak cuai ke atas seorang bayi perempuan berusia 10 bulan pada 5 Februari lalu.

Tertuduh yang berusia 66 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×