BUKIT MERTAJAM : Kerajaan negeri memuji usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) ke Pulau Pinang demi kepentingan rakyat di kedua-dua buah negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam hal ini, Anwar bukan sahaja bertindak sebagai pemudah cara, malah, beliau turut meluangkan masa berbincang bersama pemegang taruh daripada kementerian yang berkaitan demi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan lancar.
“Dalam lawatan Perdana Menteri ke Pulau Pinang semalam, beliau ada maklumkan dan saya secara peribadinya menganggap perkara itu adalah berita yang paling baik kerana selepas beberapa siri rundingan serta perbincangan membabitkan pelbagai pihak daripada pelbagai peringkat, akhirnya projek ini akan dapat segera dilaksanakan.
“Dalam hal ini, kita bukan sahaja mahu lihat Pulau Pinang maju disebabkan pembangunan ekonomi dan industri yang kita miliki, namun, kita berharap impak yang positif juga diterima oleh Kedah dan Perak khususnya di kawasan Perak utara yang masih memerlukan penubuhan estet-estet perindustrian.
“Selain itu, saya melihat projek ini juga bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Perak sekali gus menggalakkan pembangunan pada keseluruhannya di wilayah utara semenanjung ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung dan ADUN Perai, Datuk Seri S. Sundarajoo.
Semalam, Anwar semasa dalam lawatan kerjanya ke Pulau Pinang mengumumkan, Kerajaan Persekutuan bersetuju membangunkan infrastruktur ‘Kerian Hi-Tech’ sebagai sebahagian daripada usaha menyelesaikan isu berkaitan sumber air mentah di negeri itu.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, projek baharu itu akan disegerakan dan diyakini membawa limpahan manfaat ke selatan Seberang Perai termasuk Sungai Acheh.
“Memang berlaku kelewatan untuk mendapat keyakinan daripada kerajaan negeri Perak. Bagaimanapun, bekalan air dan tenaga yang ditumpukan dari Sungai Perak ke kawasan Kerian telah mendapat persetujuan,” kata beliau.-UTUSAN










