JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri telah mengenal pasti kira-kira 30 klinik kesihatan dan klinik desa uzur dan daif di seluruh negeri ini untuk ditambah baik pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, langkah itu perlu diambil bagi menyediakan perkhidmatan yang kondusif dan selesa kepada masyarakat di desa dan luar bandar.
Katanya, penambahbaikan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan di klinik kesihatan dan klinik desa terbabit membabitkan kos sejumlah RM14 juta.
“Pada tahun lepas, kita telah menaik taraf 29 klinik kesihatan dan klinik desa dengan peruntukan sejumlah RM13 juta.
“Usaha ini diteruskan pada tahun ini membabitkan 30 klinik kesihatan dan klinik desa yang dibina sejak 60-an dan 70-an yang kini uzur dan daif.
“Peruntukan RM14 juta itu kita akan fokus untuk menaik taraf bangunan klinik, menaik taraf fasiliti dan tempat pengoperasian harian, dan jika ada keperluan barulah kita akan menaik taraf kuarters klinik terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baru Cina Tahun 2024 di Tokong Fo Guang Shan, Taman Sutera Utama di sini hari ini. – UTUSAN











