RM1 juta untuk projek imarahkan Masjid Jamek Tengah Berapit  - PM

RM1 juta untuk projek imarahkan Masjid Jamek Tengah Berapit  – PM

ANWAR Ibrahim (tiga dari kanan) menandatangani plak ketika Majlis Perasmian Masjid Jamek Tengah Berapit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Perdana Menteri hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan Masjid Jamek Tengah Berapit, di sini memulakan projek-projek kecil termasuk untuk  maahad tahfiz serta kariah masjid itu dalam usaha mengimarahkan masjid berkenaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam hal ini, beliau telah meminta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk menyegerakan penyediaan surat berkaitan supaya semua cadangan atau projek yang direncana dapat disegerakan.

“Jumlah kos (pembinaan) masjid ini sangat rendah berbanding sekarang. Sekarang, kalau macam ini (pembinaan masjid) dah RM7 atau RM8 juta. Tapi, belanja masjid ini baru sekitar RM2 atau RM3 juta maksimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Masjid Jamek Tengah Berapit di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abd. Hamid; Ketua Pengarah ICU di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Azman Ibrahim serta beberapa kenamaan lain.

Dalam pada itu, Pengerusi Kariah Masjid Jamek Tengah Berapit, Sr. Fakhrul Azman Ali berkata, masjid itu dibina bagi menggantikan masjid yang didirikan oleh penduduk setempat pada 1927.

MASJID Jamek Tengah Berapit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN / ISWAN SHAFIQ ISA

Katanya, projek pembinaan masjid itu bermula pada 1996 dan mula digunakan semasa solat Aidil Adha setahun kemudian dengan kos sebanyak RM2.1 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.2 juta disumbangkan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sendiri yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri manakala baki selebihnya iaitu kira-kira RM900,000 pula disumbangkan oleh orang ramai.

“Oleh kerana jasa dan sumbangan kewangan yang diberikan Perdana Menteri itu, maka, jawatankuasa masjid ini begitu berharap agar beliau dapat hadir merasmikan masjid ini dan hasrat kami dimakbulkan hari ini,” katanya.

Tambah Fakhrul Azman, pihaknya juga berbesar hati dengan sumbangan sebanyak RM200,000 yang diterima daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membina dataran bertar di pekarangan masjid itu selain kebenaran daripada kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk menggunakan tanah seluas setengah hektar itu bagi kegunaan masjid serta pelbagai kegiatan agama yang lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×