Pilih bulu atau apa? - Noorshila Amin kesal RPM sulitkan proses keahlian - Utusan Malaysia

Pilih bulu atau apa? – Noorshila Amin kesal RPM sulitkan proses keahlian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Noorshila Amin, 60, kecewa dengan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) yang seakan-akan memandang sebelah mata sebilangan besar penyanyi-penyanyi lama dengan menyulitkan proses permohonan golongan itu untuk menjadi ahli badan tersebut.

Kata Noorshila, hal itu terbukti apabila wujud dalam kalangan penyanyi lama, termasuk dirinya yang terpaksa bersusah payah menyerahkan bukti dan dokumen yang sah kepada pihak RPM sebelum melayakkan mereka menjadi ahli badan kutipan royalti berkenaan.

“Keadaan ini berbeza dengan yang dihadapi anak saya, Banni Basyihar yang dihubungi sendiri pihak RPM yang menawarkan dia untuk menjadi ahli selepas pihak berkenaan dimaklumkan tentang penglibatannya selaku pencipta lagu untuk penyanyi rap, Aman Ra.

“Saya tak faham kenapa rajin pula mereka hubungi dia dan permudahkan urusan keahliannya sedangkan penyanyi lama yang 40 tahun dalam industri seperti saya tidak pula menerima layanan yang sama, malah disulitkan lagi proses pendaftaran keahlian untuk kami.

“Saya tak tahulah, mereka ini pilih bulu atau apa? Yang penting saya kecewa. Sekurang-kurangnya ambil inisiatif, bantu dan permudahkan kerana penyanyi-penyanyi lama seperti kami sangat terbuka untuk menjadi ahli RPM,” luahnya selepas sidang media Unity Parade baru-baru ini.

Ulas Noorshila lagi, selaku badan yang juga mengutip dan mengagihkan royalti untuk penghibur, RPM seharusnya secara automatik mendaftarkan semua bekas ahli badan pengutip royalti, Prism Berhad menjadi ahli mereka.

Katanya, atau sekurang-kurangnya RPM mengambil inisiatif mempermudahkan proses keahlian penyanyi-penyanyi lama jika tindakan untuk secara automatik mendaftarkan golongan itu sebagai ahli berat untuk mereka laksanakan.

“Prism dibubarkan enam tahun lalu, apa salahnya RPM daftarkan kami menjadi ahli mereka secara automatik. Kalau tak boleh, permudahkanlah proses permohonan menjadi ahli untuk kami yang sudah lama menjadi penyanyi ini.

“Ini tidak, prosesnya disulitkan untuk kami, terpaksa hadir ke pejabat mereka bawa dokumen untuk membuktikan yang kamilah penyanyi satu-satu lagu itu. Bukan semua penyanyi lama simpan bukti-bukti tersebut. Lebih parah lagi apabila syarikat rakaman yang menerbitkan lagu yang kami nyanyikan, ditutup. Entah macam mana lagi kami nak dapatkan bukti?

“Jadi saya harap RPM permudahkan kami untuk menjadi ahli mereka. Hanya mereka sahajalah harapan untuk kami dapatkan royalti yang merupakan hasil titik peluh kami sepanjang bergelar anak seni,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×