SEREMBAN: Seramai 144,395 orang penduduk yang beralamat di Negeri Sembilan sudah mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sejak ia diperkenalkan oleh kerajaan pada 2 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Sembilan, Mohd. Sawal Shakimon berkata, jumlah itu bersamaan 16.4 peratus daripada seramai 879,880 orang di negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas dan layak mendaftar untuk sistem itu.
Beliau berkata, pihaknya terus menggembleng usaha untuk menarik lebih ramai penduduk di negeri ini untuk membuat pendaftaran dan pengemaskinian ke dalam sistem PADU sebelum tarikh akhir pada 31 Mac nanti.
“Kami telah merangka beberapa strategi turun ke lapangan di beberapa lokasi telah dikenal pasti yang membolehkan setiap segmen masyarakat disantuni.
“Antaranya, membuka kaunter di pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pasaraya besar yang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada hujung minggu,” katanya di sini hari ini.
Sehingga kini, katanya, sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan yang mana DOSM sebagai pihak mengendalikan pendaftaran menerima banyak pertanyaan selain membantu orang ramai membuat pendaftaran.
Tambahnya, dalam sesi pertemuan itu, pihaknya juga berpeluang memberikan penerangan kepada orang ramai mengenai beberapa kekeliruan yang timbul selepas PADU dilancarkan awal bulan lalu.
Mohd. Sawal menarik perhatian, pihaknya juga mendapat kerjasama erat daripada kerajaan negeri bagi melaksanakan hebahan di peringkat akar umbi serta sokongan daripada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.
“Mereka menjemput kami membuka kaunter apabila sesuatu majlis atau acara dianjurkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Kami juga menyasarkan komuniti lebih kecil seperti kampung-kampung serta kerjasama strategik bersama FELDA bagi membuka kaunter khusus untuk memastikan masyarakat peneroka tidak tercicir,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan orang ramai di negeri ini tidak menunggu sehingga saat akhir untuk mendaftar PADU bagi mengelakkan masalah trafik dalam talian yang tinggi semasa membuat capaian kepada sistem berkenaan.-UTUSAN.










