KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dicekup polis tidak lama selepas meragut seutas rantai emas bernilai kira-kira RM7,500 daripada seorang mangsa di Kampung Cina di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, kejadian pada pukul 11.30 pagi itu disedari anggota polis yang meronda kawasan tersebut sebelum dilaporkan mangsa.
Menurut beliau, mangsa yang berbangsa Cina berumur 50-an memberitahu anggota terbabit bahawa rantai emasnya diragut suspek yang menaiki motosikal sambil menunjukkan arah suspek melarikan diri.
Jelasnya, anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) itu kemudian bertindak mengekori motosikal suspek dan dikejar sejauh lima kilometer.
“Suspek akhirnya berjaya ditangkap selepas anggota peronda mengejarnya sehingga ke Jalan Hiliran lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Suspek dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori selain memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan curi motosikal, samun dan dadah.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dengan kes ragut rantai emas milik mangsa dan akan direman hari ini bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Wan Mohd. Zaki, lima rekod jenayah lampau suspek itu melibatkan dua kes di daerah ini, dua di Lembah Klang dan satu di Tanah Merah, Kelantan.
Katanya, turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz yang ditunggang suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyamun. – UTUSAN










