PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan kadar kelahiran terendah dalam tempoh lima dekad pada tahun lalu yang akan menjadikan kita negara tua lebih awal berbanding jangkaan tahun 2030.
Kadar kelahiran itu adalah penurunan secara berterusan sejak 50 tahun lalu dengan data merekodkan kadar kesuburan dalam kalangan rakyat Malaysia menurun daripada 6.7 kanak-kanak bagi setiap wanita pada 1957 kepada empat pada 1980, tiga pada 2000 dan 2.1 pada 2010.
Dalam tempoh sama juga, kadar kesuburan dalam kalangan rakyat Malaysia direkodkan paling rendah dengan kadar purata kesuburan 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun pada 2022.
Penurunan itu semakin ketara sejak tiga tahun lalu apabila kadar kelahiran semasa bagi Malaysia pada 2024 ialah 15.602 kelahiran bagi setiap 1,000 orang iaitu menunjukkan penurunan 1.71 peratus berbanding 2023.
Malah kadar kelahiran bagi Malaysia pada 2023 ialah 15.873 kelahiran bagi setiap 1000 orang, penurunan 1.2 peratus daripada 2022.
Selain itu, kadar kelahiran bagi Malaysia pada 2022 ialah 16.066 kelahiran bagi setiap 1000 orang, penurunan 1.18 peratus daripada 2021.
Antara punca yang menyumbang kepada kemerosotan kadar kelahiran Malaysia ialah penangguhan perkahwinan dan kelewatan melahirkan anak dalam tempoh tiga tahun sejak 2021.
Faktor lain adalah terdapat pasangan suami isteri yang cenderung berkeinginan keluarga bersaiz kecil sekali gus meletakkan Malaysia berada di kedudukan empat negara kelahiran terendah dalam anggota ASEAN.
Sementara itu, berdasarkan kadar kelahiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kelahiran hidup sejak suku tahun 2021 ialah seramai 120,147 bayi, tahun 2022 ialah 114,067 bayi manakala tahun 2023 hanya seramai 112,767 kelahiran bayi.
Bilangan orang bujang di negara ini pula semakin ramai apabila 8.3 juta orang direkodkan pada tahun 2020 berbanding hanya 6.9 juta individu bujang pada 2010 dan angka itu diramalkan terus meningkat setiap tahun.
Mengikut data jabatan itu, seramai 4.8 juta daripada jumlah itu pada tahun 2020 adalah lelaki bujang, manakala bakinya sejumlah 3.5 juta pula golongan wanita.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, apabila berlaku pertambahan masyarakat menua, bilangan pembayar cukai akan berkurang dan akan mengakibatkan perkhidmatan percuma yang dinikmati pada hari ini seperti pendidikan, fasiliti kesihatan tidak dapat diberikan secara percuma lagi.
Selain itu, katanya, jika isu ini tidak ditangani, negara akan berhadapan dengan pelbagai masalah seperti terlalu bergantung tenaga buruh daripada negara luar dan secara tidak langsung boleh menjejaskan pekerja tempatan.
Semalam, akhbar ini melaporkan, berdasarkan perangkaan demografi Malaysia suku tahun keempat 2023, kadar kelahiran hidup menurun sebanyak 1.1 peratus iaitu seramai 112,767 kelahiran hidup berbanding suku tahun keempat 2022 iaitu seramai 114,067.
Menurut Mohd. Uzir, Melayu menyumbang 67.2 peratus atau 75,763 kelahiran hidup pada suku tahun keempat 2023 manakala kelahiran hidup bagi kaum Cina dan India masing-masing menurun 9.3 peratus dan 4.1 peratus berbanding 10.4 peratus dan 4.4 peratus pada suku tahun keempat 2022.
Sehubungan itu, beliau berkata, isu krisis kelahiran memerlukan penyelesaian yang menyeluruh kerana penyebab utamanya adalah disebabkan kurang subur, isu kewangan dan juga tidak berminat mempunyai anak yang ramai.
“Antara inisiatif untuk kelahiran anak adalah dengan menggalakkan perkahwinan awal dan menyediakan kemudahan untuk merawat ketidaksuburan pasangan masing-masing,” katanya. – UTUSAN










