Harga siling beras: Pengilang untung, pesawah rugi

Harga siling beras: Pengilang untung, pesawah rugi

PESAWAH kini menghadapi kerugian disebabkan pelbagai faktor seperti perubahan cuaca drastik. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penetapan harga siling beras putih RM30 sekampit 10 kilogram (kg) bagi menggantikan beras tempatan RM26 bermula Isnin ini hanya menguntungkan pengilang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Nur Fitri Amir berkata, kerajaan sepatutnya mengekalkan harga belian padi dan tidak menurunkan ia pada paras tidak sepatutnya.

Menurutnya, cadangan untuk menurunkannya kepada RM1,300 berbanding RM1,600 hanya akan memberi impak negatif kepada golongan bawahan industri, iaitu pesawah yang kini sudah menghadapi kerugian disebabkan pelbagai faktor seperti perubahan cuaca drastik.

“Kenaikan harga beras adalah munasabah tetapi mengapa harga belian padi oleh pengilang pula menjadi RM1,300? Sepatutnya harga belian tersebut dinaikkan kepada RM1,500 sehingga RM1,600 per tan.

“Tidak masuk akal apabila harga beras diselaraskan kepada RM30 tetapi harga belian padi oleh pengilang pula menjadi RM1,300. Ini merupakan ketidakadilan terhadap pesawah,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) memperke­nalkan beras putih Malaysia Madani yang akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10kg bermula 19 Februari ini selaras pemansuhan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI).

Kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg) berkuat kuasa pada tarikh sama.

Nur Fitri menambah, pihaknya mencadangkan harga siling beras putih dinaikkan jualan kepada RM35 agar kedua-dua pihak terlibat dalam pengeluaran makanan ruji negara itu memperoleh keuntungan dan dapat menampung kos perbelanjaan yang tinggi.

Sementara itu, Exco Tugas-tugas Khas PeSAWAH, Abdul Rashid Yob memberitahu, kenaikan harga siling beras perlu munasabah untuk pesawah dan pengilang menanggung kos perbelanjaan mereka.

“Harga jualan beras RM35 adalah adil kerana pengilang meletakkan harga belian padi RM1,600 ketika ini secara tidak langsung pesawah dan petani mendapat keuntungan,” kata­nya.

Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain pula berkata, kenaikan harga beras perlu setimpal dengan harga belian padi, iaitu RM1,600 setan.

“Mungkin dengan menaikkan harga kepada RM33 lebih baik supaya kami dapat menanggung kos perbelanjaan setimpal de­ngan harga belian padi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×