Toksin keluar petanda alahan produk

Toksin keluar petanda alahan produk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASA gatal atau pedih, sensasi panas, kulit merah, bengkak, pembentukan biji-biji merah, biji-biji berair dan kulit mengelupas atau berkeruping.

Alahan dan kesan negatif itu bagaimanapun sering diabaikan kebanyakan individu di sebalik keindahan yang dijanjikan pada produk penjagaan wajah atau kosmetik baharu.

Malah, ia sering dianggap sebagai sesuatu yang biasa dan sudah dijangka sebelum keberkesanan produk berlaku.


Pakar Perunding Dermatologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Adawiyah Jamil berkata, tanda-tanda yang dianggap biasa itu bagaimanapun bukan disebabkan toksin keluar atau purging, sebaliknya merupakan alahan dikenali sebagai allergic contact dermatitis.

Alahan berkenaan mudah dikenal pasti kerana muncul lebih awal, iaitu antara dua ke tujuh hari selepas menggunakan produk baharu.

“Namun jika pesakit tidak memberikan maklumat mengenai penggunaan produk baharu, doktor mungkin akan membuat diagnosis penyakit ekzema.

“Ini kerana keadaan kulit akibat allergic contact dermatitis menyerupai ekzema dengan petunjuk
utama iaitu ruam yang hanya muncul di bahagian kulit terkena produk tersebut,” katanya kepada Utusan
Malaysia.

Ruam boleh merebak dengan cepat ke kawasan lain yang tidak terkena produk jika tindak balas alahan adalah teruk.

Keadaan itu boleh berlaku sekiranya produk berkenaan terus digunakan walaupun alahan muncul sekali gus menyukarkan doktor membuat diagnosis tepat.

RAWATAN, PENCEGAHAN
Kajian terhadap lebih 1,000 pesakit di Hospital Canselor Tuanku Muhriz mendapati antara bahan yang paling kerap menyebabkan alahan ialah methyldibromoglutaronitrile, formaldehyde, potassium dichromate, nickel sulphate, pewangi, dan cobalt chloride.

Justeru, penggunaan bahan yang menyebabkan alahan perlu dielakkan dan pendedahan semula berisiko menyebabkan gejala berulang serta bertambah teruk.

Individu yang pernah mengalami allergic contact dermatitis perlu berhati-hati dalam memilih produk penjagaan kulit atau kosmetik dengan menyemak senarai bahan kandungan secara teliti.

Menurut Adawiyah, langkah yang boleh diambil jika berlaku allergic contact dermatitis ialah menghentikan penggunaan produk tersebut.

“Krim steroid akan digunakan bagi menyembuhkan alahan manakala individu yang mengalami ruam hingga merebak ke kawasan lain, ubat makan steroid boleh diambil.

“Penggunaan krim pelembab juga penting jika kulit pesakit menjadi kering, mengelupas atau berkeruping,” katanya.

Ujarnya, ujian patch test untuk mengenal pasti bahan dalam produk yang menyebabkan alahan, hanya boleh dilakukan selepas gejala-gejala sembuh sepenuhnya.

AWASI, PERUBAHAN WARNA KULIT
Kesan perubahan warna kulit akibat penggunaan produk penjagaan muka dan kosmetik jarang berlaku, namun ia tetap perlu diawasi.

Gejala itu termasuk tompokan putih, gelap kehitaman dan gelap kebiruan.

Bagaimanapun, keadaan ini tidak dapat dikenal pasti berikutan penggunaan produk dalam jangka masa
yang lama.

Leucoderma, riehl melanosis dan ochronosis antara beberapa jenis tindak balas negatif kulit.

“Bagaimanapun, diagnosis adalah lebih rumit kerana masalah-masalah ini menyerupai beberapa penyakit pigmentasi lain.

“Dalam beberapa kes, biopsi kulit mungkin perlu dilakukan untuk pengesahan dan rawatannya lebih sukar dengan kesan rawatan yang kurang memuaskan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×