Isu syariah: PN anjur sidang meja bulat

Isu syariah: PN anjur sidang meja bulat

Muhyiddin
MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Meja Bulat dan mewujudkan Jawatankuasa Teknikal dan Dokumentasi Undang-Undang bagi mencadangkan tindakan susulan memperkasakan kedudukan perundangan syariah dan memelihara kepentingan umat Islam.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung 16 peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang terbatal baru-baru ini.

Menurutnya, Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN diadakan malam tadi bagi membincangkan dan memperhalusi secara khusus keputusan tersebut dan kesannya terhadap perundangan syariah, umat Islam dan masyarakat Malaysia.

“Perikatan Nasional memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut yang diyakini akan memberi kesan besar terhadap kedudukan dan skop undang-undang syariah di Malaysia. 

“Sehubungan itu, PN akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat yang akan diketuai oleh Datuk Idris Ahmad dan mewujudkan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-Undang yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk mencadangkan tindakan-tindakan susulan bagi memperkasakan kedudukan perundangan syariah khususnya dan memelihara kepentingan umat Islam amnya. 

“Persidangan Meja Bulat dan Jawatankuasa Teknikal ini akan melibatkan penyertaan pakar-pakar Perlembagaan dan perundangan Islam, ulama, ilmuwan Islam dan pemegang taruh yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah atas alasan DUN tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan tersebut kesalahan sama meliputi dalam undang-undang Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dalam petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen berkenaan.

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Negeri Sembilan berkuatkuasa 12 Februari lalu.

Pada masa sama, beliau berkata, Majlis Tertinggi PN mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di atas sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang memikul amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Negeri Sembilan sebelum ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×