SHAH ALAM: Tiga individu dikaitkan dengan Aman Palestin Sdn Bhd (Aman Palestin) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas 164 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, penipuan dan pecah amanah bernilai keseluruhan RM39.53 juta antara 2018 hingga 2023.
Mereka adalah Awang Suffian Awang Piut, 52, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin; Abdullah Zaik Abd. Rahman, 58, sebagai pengerusi eksekutif dan Khairuddin Mohd. Ali, 49, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua kertas pertuduhannya dibacakan dihadapan Hakim Datuk Anita Harun, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Awang Suffian dan Abdullah Zaik masing-masing didakwa dengan 52 pertuduhan pecah amanah harta milik Aman Palestin bernilai RM20,946,498.80 dan dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, sementara sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, sekiranya disabitkan kesalahan.
Mereka juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan penipuan dengan memperdayakan Aman Palestin supaya menyerahkan wang keseluruhan RM39,150,000 kepada Samudra Champa Sdn Bhd (Samudra Champa) bagi pembelian emas seberat dua hingga 12 kilogram (kg).
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.
Mereka yang juga berperanan sebagai Pengarah Syarikat Samudra Champa turut menghadapi 19 pertuduhan masing-masing kerana menggunakan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM12,833,772.16.
Wang tersebut didakwa digunakan bagi pembelian rumah kedai dua dan tiga tingkat serta semi-D antaranya di Kajang dekat sini selain Batu Pahat, Johor dan Kangar, Perlis serta Kota Kinabalu di Sabah.
Selain itu, hasil itu juga digunakan bagi pembelian empat lot tanah masing-masing di Hulu Selangor dan Batang Kali selain kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.
Khairuddin yang merupakan pengarah sebuah syarikat pelaburan pula didakwa tiga pertuduhan yang sama berjumlah RM6,038,016.60.
Justeru, kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.
Kesemua perbuatan tersebut dilakukan di empat cawangan bank dan pejabat Aman Palestin di Bandar Baru Bangi dekat sini antara 2018 hingga 2023.
Prosiding bagi pembacaan 164 pertuduhan tersebut mengambil masa selama dua jam bermula pukul 10.35 pagi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, Wirna Rifin @ Arifin, Nurul Atiqah Mohamad Alias dan pegawai pendakwa SPRM Farhana Ismail.
Manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Siti Mardhiyyah Zamani.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1 juta kepada Awang Suffian dan Abdullah Zaik manakala Khairudin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin.
“Mereka juga dikehendaki membayar separuh daripada nilai jaminan itu pada hari ini dan bakinya sebelum 13 Mac depan dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.
Anita kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh pada 13 Mac depan. – UTUSAN










