Selangor peroleh pelaburan domestik 2023 lebih RM26 bilion - Utusan Malaysia

Selangor peroleh pelaburan domestik 2023 lebih RM26 bilion

Pelaburan Selangor
NG Sze Han (tengah) menunjukkan plakad Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Negeri Selangor  pada sidang akhbar di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor komited untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebagaimana pelaburan langsung asing (FDI) bagi memastikan sasaran RM50 bilion pelaburan modal untuk tahun ini dicapai.

Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, Ng Sze Han berkata, berdasarkan rekod pelaburan negeri setakat Januari hingga September tahun lalu lebih RM26 bilion DDI direkodkan.

“Manakala FDI adalah sebanyak RM15.4 bilion.Kita yakin baki antara Oktober hingga Disember tahun lalu FDI dan DDI akan mencapai sasaran ditetapkan iaitu RM45 bilion.

“Kita yakin kita mampu menyasarkan nilai pelaburan sebanyak RM50 bilion tahun ini dengan peningkatan sebanyak RM5 bilion berbanding sasaran tahun lalu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar, hari ini.

Jelasnya, peningkatan pelaburan DDI dan FDI tahun lalu disumbangkan oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Sektor pembuatan yang menyumbang pelaburan terbesar adalah produk elektrik dan elektronik iaitu sebanyak RM9.75 bilion dan kedua ‘fabricated metal product’ sebanyak RM2.65 bilion.

“Ketiga, produk plastik sebanyak RM1.18 bilion, keempat adalah mesin dan peralatan sebanyak RM865 juta dan kelima, pengeluaran makanan dengan nilai pelaburan sebanyak RM697 juta,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara itu berkata, bagi sektor perkhidmatan nilai pelaburan paling tinggi tahun lalu disumbangkan oleh sektor hartanah sebanyak RM13.48 bilion.

Tambahnya, berada di tempat kedua adalah sektor informasi dan komunikasi mencatat pelaburan sebanyak RM5.41 bilion dan pelaburan sektor utiliti sebanyak RM1.9 bilion berada di kedudukan ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×