GURUN: Seorang pemandu lori yang terlibat kemalangan membabitkan trak askar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan memandu secara merbahaya sehingga mengorbankan tiga nyawa, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Huzaifah Azhari, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.
Mengikut pertuduhan, dia dituduh memandu secara merbahaya dan menyebabkan kematian Lans Koperal Mohd. Hafiz Haris, 30; Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, dan Koperal Mohd. Asri Idris, 40.
Kejadian berlaku di Kilometer 77.5, Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Daerah Kuala Muda, kira-kira pukul 10.30 pagi, 2 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Azmi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM30,000, namun peguam, Ummi Kalthum Zakaria meminta jaminan paling rendah kerana tertuduh menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Anis Suraya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac depan.
Pada 2 Februari lalu, akhbar ini melaporkan ketiga-tiga anggota berkenaan dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak dalam perjalanan melibatkan tiga buah kenderaan menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar di Perlis.
Mereka sepatutnya mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah. Namun, salah sebuah kenderaan konvoi telah mengalami kerosakan yang menyebabkan mereka terpaksa berhenti di sebelah kiri lebuh raya sebelum dirempuh lori.
Ketiga-tiga mereka telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. -UTUSAN











