KOTA BHARU: Bimbang ditangkap kerana kononnya terlibat aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, seorang peniaga kerugian kira-kira RM692,500 selepas terpedaya sindiket ‘phone scam’.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penipuan itu bermula selepas lelaki berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Putrajaya yang memaklumkan pengadu terlibat dengan penipuan wang haram pada 28 Januari lalu.
Menurutnya, selepas itu mangsa telah bercakap dengan seorang lelaki dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan memaklumkan telah terlibat dengan penggubahan wang haram serta aktiviti penyeludupan dadah.
“Pengadu telah dimaklumkan terlibat dengan penggubahan wang haram dan aktiviti penyeludupan dadah sebelum disambungkan talian dan bercakap dengan seorang lagi pegawai polis yang mengesahkan penglibatan tersebut.
“Seterusnya pengadu telah diminta untuk memuat turun aplikasi ‘BNM’ selain mengarahkan mangsa untuk mendaftar serta mengisi maklumat akaun Affin Bank dan Bank Islam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pada 30 Januari lalu, mangsa telah memindahkan wang dari akaun ASB ke akaun Affin Bank miliknya sebanyak RM300,000.
Katanya, wang tersebut kemudiannya telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga (mule) iaitu OCBC Bank di atas nama SGG Textile Marketing Sdn. Bhd. dan Go Tian Tian secara berperingkat.
“Manakala pada 4 Februari lalu, pengadu telah ke Tabung Haji Kota Bharu untuk memindahkan wang ke akaun Affin Bank dan Bank Islam miliknya berjumlah RM 400,000.
“Seterusnya, pada 6 Februari lalu, suspek telah melakukan pemindahan wang milik pengadu ke akaun Affin Bank atas nama Go Tian Tian dan akaun OCBC atas nama Izzu 2023 Enterprise secara berperingkat,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, mangsa bagaimanapun hanya menyedari yang dia ditipu selepas membuat semakan akaun bank dan mendapati wang tersebut hilang.
“Pengadu telah bertindak menyekat kesemua akaun bank dan jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM692,500.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,”katanya.-UTUSAN











