El Nino ancam Malaysia

El Nino ancam Malaysia

SEORANG petani melakukan kerja-kerja di sawah dalam keadaan cuaca panas melampau dengan keadaan bendang mula merekah dan kering-kontang di Kok Klang, Perlis, semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fenomena El Nino yang diramal berterusan sehingga Mei ini berpotensi mengakibatkan gangguan bekalan air dan mengurangkan paras air empangan di negara ini ekoran cuaca menjadi semakin panas serta kering melampau.

Fenomena itu yang menyebabkan suhu harian di kebanyakan tempat melebihi 35 darjah Celsius juga boleh memberi kesan kepada industri penanaman padi, sayur dan buah.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, Malaysia sedang melalui situasi genting kerana kapasiti sebenar air bagi 16 daripada 55 empangan tidak diketahui.

Malah kata beliau, tahap ke­tersediaan kewujudan air mentah sebenar tidak diketahui untuk satu tempoh yang lama.

“Berdasarkan perhatian ka­mi, semasa dua tempoh cuaca panas pada 2023, didapati ba­nyak gangguan bekalan air berlaku secara rawak.

“Situasi ini berlaku bagi loji-loji rawatan air yang bergantung kepada aliran air su­ngai yang mana cuaca panas berterusan boleh mengakibatkan arasnya menjadi lebih rendah seterus­nya tidak dapat mengekstrak air mentah untuk diproses.

“AWER telah memberi amaran awal mengenai kesan El Nino kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan ne­geri untuk menggariskan isu-isu yang perlu ditangani,” kata­nya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas dan kering diramalkan berterusan sehingga Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, berikutan fenomena El Nino kuat yang melanda dunia pada ketika ini, suhu maksimum harian di Malaysia juga boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.

Katanya, dalam tempoh dari Februari hingga Mei, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang.

Sementara itu, Fenomena El Nino dijangka menjejaskan industri padi khususnya di Perlis dengan 90 peratus pesawah belum menuai hasil.

Kelewatan menuai itu berikutan isu kelewatan pembekalan benih padi yang menyebabkan kebanyakan pesawah terpaksa mengusahakan tanaman tidak mengikut jadual ditetapkan.

Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, pesawah menjangkakan hasil musim ini boleh terjejas teruk dengan anggaran sekitar dua hingga tiga tan metrik perhektar berbanding kelaziman lima tan metrik dalam keluasan sama.

Katanya, cuaca panas melampau ketika ini memberi kesan kepada penanaman padi berikutan masalah sumber air.

‘Jadual penanaman yang tidak selari berikutan kelewatan benih padi sebelum ini dengan ada yang mengusahakan tanaman pada November dan Disember lalu, antara yang terjejas teruk memandangkan tanaman mereka ketika ini belum boleh dituai.

“Ini kerana padi yang sedang membesar memerlukan bekalan air namun sekarang sungai pun sudah semakin susut. Hanya sekitar 10 peratus pesawah di negeri ini yang sudah menuai hasil manakala selebihnya masih dalam proses tuaian dalam tempoh terdekat.

“Cuaca lebih panas berbanding tahun lalu dengan ada sawah sudah merekah dan kering. Padi yang baru nak keluar memerlukan air dan air sungai sekarang pun semakin kurang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, pesawah dijangka mengalami kerugian lebih 50 peratus berikutan cuaca panas yang bakal memberi kesan kepada hasil tuaian selepas ini.

“Ia berpunca daripada jadual tanaman sebelum ini yang menyebabkan pesawah terpaksa berdepan musim panas dalam keadaan hasil yang belum boleh dituai.
“Kerajaan perlu membantu pesawah yang bakal berdepan kesan besar berikutan cuaca panas ketika ini. Hasil dijangka sudah pastinya menurun dan pesawah bakal mengalami kerugian besar,” katanya.

Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim pula menasihatkan petani yang terlibat dengan sektor penanaman lain seperti sayur dan buah-buahan termasuk durian supaya sentiasa bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan akibat cuaca panas.

Dalam pada itu, ketiga-tiga empangan yang menampung keperluan sumber air pengairan untuk aktiviti tanaman padi musim 2/2023 di Kawasan Muda berada pada paras selesa dan mencukupi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, musim panas dan kering yang melanda Kedah tidak memberi kesan terhadap tanaman padi terutama di kawasan itu.

Menurutnya, MADA juga sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sekiranya El Nino berlarutan seperti ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Met Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×