Teknologi dibangun MPOB kurangkan import makanan haiwan

Teknologi dibangun MPOB kurangkan import makanan haiwan

JOHARI Abdul Ghani melawat Loji Rintis Majerin MPOB di Bangi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap, teknologi menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging dibangunkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dapat mengurangkan import makanan haiwan negara sekurang-kurangnya sebanyak 10 peratus.

Beliau juga berharap negara boleh mengeksport produk berkenaan.

Katanya, pihak swasta harus terlibat dalam pengkomersialan teknologi-teknologi yang dibangunkan oleh MPOB seperti memperhalusinya agar teknologi itu dapat digunakan oleh industri.

“Kita boleh meminta pihak swasta seperti FGV dan Sime Darby untuk bekerjasama dengan MPOB untuk melakukan percubaan,” katanya semasa melakukan lawatan ke fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB di Bangi, kelmarin.

Kenyataan beliau itu dikeluarkan oleh MPOB.  Johari turut melawat Loji Rintis Marjerin, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC), dan Galeri Sawit MPOB.

Beliau juga berkata, teknologi MPOB dalam menghasilkan formulasi makanan seperti analog keju Mozzarella berasaskan sawit adalah produk baik yang boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.

Analog keju Mozzarella berasaskan sawit dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu, dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.

Sehingga kini, MPOB telah berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging berasaskan sawit itu menawarkan alternatif kepada bahan mentah yang mampu mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi.

Menurut MPOB, percubaan komersial produk tersebut mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk tersebut.

“Formulasi pelet makanan ini, yang mengandungi lebi 80 peratus bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan buah kosong dan minyak sawit mentah adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×