PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari diumumkan sebagai Pengerusi Amanah Kelantan yang baharu.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Adly dan 13 pengerusi Amanah negeri lain dibuat setelah melalui proses syura yang merupakan prinsip utama dalam pentadbiran parti itu dengan mengambil kira pandangan akar umbi di peringkat kawasan bagi memastikan amalan demokrasi terus subur.
Katanya, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad pula dilantik mengetuai Amanah Wilayah Persekutuan.
Selain Adly dan Khalid, barisan senarai Pengerusi Amanah negeri adalah Johor (Aminolhuda Hassan), Kedah (Mohd. Asmirul Anuar Aris), Melaka (Datuk Ashraf Mukhlis Minghat), Negeri Sembilan (Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman), Pahang (Mohd. Fadzli Mohd. Ramly), Perak (Datuk Asmuni Awi), Perlis (Wan Kharizal Wan Khazim).
Selain itu, Pulau Pinang (Muhammad Faiz Fadzil), Sabah (Lahirul Latigu), Sarawak (Abang Abdul Halil Abang Naili), Selangor (Izham Hashim) dan Terengganu (Mohd. Hasbie Muda).
Pada pemilihan 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional yang diadakan pada 24 Disember lepas, Datuk Seri Mohamad Sabtu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dipilih sebagai Presiden Amanah untuk penggal ketiga.
Selain itu, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pula dipilih sebagai Timbalan Presiden, manakala Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Adly dan Dr. Siti Mariah Mahmud, masing-masing dipilih sebagai Naib Presiden parti. – UTUSAN










