Pengundi muda jadi penentu masa depan Indonesia

Pengundi muda jadi penentu masa depan Indonesia

SEORANG wanita membuang undi di Pusat Pengundian Banjar Teba di pulau peranginan Bali, Indonesia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Proses pengundian selesai dilaksanakan di Indonesia dengan lebih 200 juta pengundi berdaftar majoritinya warga muda, menunaikan tanggungjawab mereka memilih presiden baharu dalam pilihan raya sehari terbesar di dunia.

Pengundi muda menjadi penentu masa depan negara demokrasi  Asia Tenggara itu yang turut menempatkan majoriti umat Islam terbesar di dunia.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), warga Indonesia yang lebih muda menguasai majoriti pengundi dengan kira-kira separuh daripada pemilih berdaftar berusia di bawah 40 tahun.

Indonesia disifatkan sebagai negara muda dengan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pengundi adalah generasi milenium dan 22 peratus lagi adalah daripada generasi Z. 

Tetapi berdasarkan data kerajaan, hampir satu daripada lima rakyat Indonesia berumur antara 15 dan 24 tahun tidak dapat mencari kerja.

Pengundi muda lebih menekankan peluang pekerjaan, membasmi kemiskinan dan rasuah sebagai tiga keutamaan utama mereka dalam undian berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada November 2023 oleh Lembaga Survei Indonesia dan ISEAS-Institut Yusof Ishak.

Menurut Ahli Ekonomi dan rakan pelawat di institut itu, Maria Monica Wihardja, mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dengan gaji yang adil bergantung pada sistem tadbir urus Indonesia di mana rasuah bukan perkara biasa untuk menarik pelaburan asing.

Indonesia mencapai keuntungan yang mengagumkan sejak kejatuhan rejim autoritarian mendiang diktator Suharto pada tahun 1998 dan berubah menjadi salah satu negara demokrasi dan ekonomi paling cergas di Asia.

Kempen kali ini turut dikuasai oleh calon-calon personaliti besar dalam pilihan raya yang turut melibatkan pemilihan kira-kira 20,000 penggubal undang-undang negara dan wilayah.

Mengadakan pilihan raya di negara kepulauan terbesar di dunia itu turut melibatkan usaha yang sukar dan mencabar. 

Indonesia lebih luas daripada Amerika Syarika (AS), merangkumi tiga zon waktu yang terdiri daripada lebih 18,000 pulau dan pulau kecil di mana 6,000 daripadanya didiami serta lebih 150 bahasa dituturkan di seluruh keluasannya.

Majoriti calon berikrar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara yang didorong oleh sumber asli yang kaya dan peluang perdagangan, tetapi perubahan iklim serta pembalakan haram mencabar masa depan Indonesia yang mampan.

Pemimpin Parti Gerindra, Prabowo Subianto yang merupakan bekas jeneral tentera dan penyandang menteri pertahanan, bertanding jawatan presiden buat kali ketiga, dan mendahului pemilihan kali ini.

Prabowo ialah bekas menantu kepada mendiang diktator Suharto namun latar belakang kontroversi itu tidak menjejaskan popularitinya.

Sejak beberapa tahun lalu, Prabowo membina  semula imejnya sebagai penyokong demokrasi dan pemilihan anak Presiden, Joko Widodo (Jokowi), Gibran Rakabuming Raka sebagai gandingan naib Presiden mendapat sokongan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Golkar, dan Parti Amanat Nasional (PAN).-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×