JAKARTA: Kiraan pantas atau keputusan tidak rasmi pemilihan Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) 2024 yang dikeluarkan enam institusi tinjauan berdaftar menunjukkan pasangan calon Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka mendahului saingan untuk jawatan Presiden.
Menurut kiraan yang dikeluarkan institut tinjauan Penyelidikan dan Pembangunan Kompas, pasangan Prabowo dan Gibran mendahului dengan 60.27 peratus.
Sementara itu, pasangan calon Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar mengekori dengan 21.47 peratus manakala Ganjar Pranowo dan Mahfud MD dengan 18.25 peratus undi.
Penyelidikan dan Pembangunan Kompas merupakan satu daripada 83 institusi kaji selidik yang berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).
Institut kaji selidik ini hanya mengambil sampel berdasarkan pengundi dalam negeri dengan jumlah populasi yang digunakan ialah 203,056,748 pengundi.
Lima lagi institusi tinjaun antaranya Lingkaran Survei Indonesia, Charta Politika, Indikator, Poltracking serta Penyelidikan dan Perundingan Politika turut menunjukkan pasangan Prabowo dan Gibran mendahului dengan angka melebihi 58 peratus.
Bagi undian untuk pemilihan Dewan Perwakilan Rakyat ( DPR) pula, kiraan pantas daripada institusi tinjauan menunjukkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) mendahului dengan 42.42 peratus.-AGENSI










