PETALING JAYA: Keputusan penambahbaikan sistem struktur gaji 1.7 juta penjawat awam akan diumumkan pada pembentangan belanjawan 2025 pada Oktober tahun ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan, cadangan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka dimuktamad dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selewat-lewatnya pada awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.
Bagaimanapun kata JPA, penjawat awam di segenap lapisan perkhidmatan masih boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan sedia ada meliputi segala aspek perkhidmatan melalui portal semakan saraan dilancarkan sejak 7 Ogos 2023 lalu di pautan semakansaraan.jpa.gov.my sebelum 1 Mac ini.
“Cadangan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka dimuktamad dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selewat-lewatnya pada awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.
“Keputusan ini dijangka akan diumumkan pada pembentangan belanjawan 2025 pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Belanjawan 2025 akan dibuat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan pada 11 Oktober 2024.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam kini dalam peringkat akhir bagi kajian pelaksanaan skim pencen penjawat awam (SSPA) sebelum ia dibawa ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
Beliau berkata, buat masa ini, tiada sebarang keputusan muktamad diambil berhubung pelaksanaan skim pencen itu, termasuk untuk menggantikannya dengan kaedah lain.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bilangan 2/2024 pada semalam yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Katanya, mesyuarat tersebut membincang dan menimbang inisiatif-inisiatif penambahbaikan dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam terutama berkaitan dengan aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.
“Penambahbaikan pendapatan boleh guna penjawat awam merupakan salah satu fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam bagi merealisasikan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Menurut JPA, Perdana Menteri turut memberi penekanan kepada elemen-elemen pembaharuan perkhidmatan awam seperti pendigitalan sistem perkhidmatan, kerjasama strategik yang holistik serta pendekatan
“Whole-of-Nation bagi memacu peningkatan kecekapan, keberkesanan dan profesionalisme perkhidmatan awam dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara,” katanya. – UTUSAN










