KLANG: Hasil bedah siasat mendapati punca kematian dua mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, adalah pelbagai kecederaan akibat kemalangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, keputusan itu diperoleh selepas proses bedah siasat selesai dijalankan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pukul 12.15 tengah hari tadi.
“Proses berkenaan dilakukan petugas jabatan Forensik hospital itu bermula pukul 10 pagi. Hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca ‘multiple injuries due to plane crash’ (pelbagai kecederaan akibat nahas),” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HTAR, hari ini.
Jelasnya, pengecaman mayat mangsa turut dilakukan menerusi cap jari dan disahkan mereka disahkan berpadanan dengan identiti sebelum ini.
“Mereka dikenalpasti sebagai mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang, mendiang Roshaan Singh Raina, 43. Kita akan menyerahkan mayat kedua-dua mangsa kepada keluarga hari ini namun tidak dipastikan lokasi pengebumiannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Vijaya berkata, siasatan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan melibatkan dua lokasi serpihan pesawat tersebut.
“Ia melibatkan lokasi penemuan pesawat dan sayapnya yang jaraknya kira-kira 500 meter. Siasatan lanjut masih dijalankan biro itu di lokasi kejadian sehingga kini,” katanya.
Semalam, kedua-dua mayat mangsa ditemukan tertimbus sedalam dua meter di dalam kokpit bangkai pesawat model BK 160 Gabriel tersebut, kira-kira pukul 2 petang.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan yang terhempas itu melibatkan dua mangsa.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 bagi penerbangan rekreasi. Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang. – UTUSAN










